Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday, 8 April 2014

F1 - Dennis selar Vettel

Sebastian Vettel membantu marshal menolak keretanya selepas gagal melengkapkan sesi latihan ketiga pada Grand Prix Formula Satu Bahrain di Sakhir, Sabtu lalu. - AGENSI

MANAMA - Pemilik McLaren, Ron Dennis menyelar juara dunia empat kali, Sebastian Vettel selepas pemandu Red Bull itu menghina bunyi deruan enjin baharu Formula Satu, V6 yang lebih senyap.

Pemandu Jerman itu menyatakan pandangannya pada sidang akhbar di Grand Prix Malaysia, dua minggu lalu ketika ditanya mengenai bunyi jentera baru Formula Satu yang senyap berbanding enjin lama, V8s.

Supremo Formula Satu, Bernie Ecclestone dan Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Jean Todt pada Grand Prix Bahrain hujung minggu lalu bersetuju bahawa bunyi deruan enjin akan ditentukan selepas mendapat persetujuan bersama semua pasukan.

Walaupun FIA telah mengingatkan pemandu agar menjaga bahasa mereka apabila bercakap kepada orang ramai, namun Todt memberitahu pemberita, bahawa beliau menghormati panda­ngan Vettel dan senang untuk berbincang mengenai perkara itu.

Namun begitu, Dennis sebaliknya menganggap kenyataan Vettel sebagai keterlaluan apabila pemandu Red Bull itu menggambarkan bunyi deruan enjin baharu Formula Satu sebagai 'shit'.

"Sebagai juara dunia, dia perlu me­lakukan pendekatan yang bermaruah, jadi dia kena menjaga percakapannya, begitu juga dengan sentimen.

"Pada saya ia mudah saja. Kalau dia kini berada dalam pasukan Mercedes, dia pasti sangat gembira, saya yakin dia akan mengeluarkan empat atau lima perkataan yang menggambarkan kegembiraannya.

"Dia perlu menerima hakikat bahawa penguasaannya ada tempoh ter­tentu dan hanya kerana dominasi yang ditunjukkan selama ini telah dirampas oleh Mercedes, itu tidak memberikan dia lesen untuk tidak menghormati peraturan baharu yang ditetapkan, ­apatah lagi dia bercakap sebagai seorang juara dunia," kata Dennis kepada stesen TV Sky Sports.

Pasukan Mercedes mengungguli tiga perlumbaan pertama musim ini apabila juara dunia dua kali, Lewis Hamilton memenangi dua perlumbaan berturut-turut di Malaysia dan Bahrain, manakala Nico Rosberg menduduki tangga kedua dalam kedua-dua saingan tersebut.

Malah, Rosberg juga menjuarai perlumbaan sulung 2014 di Australia.

Vettel, 26, menjuarai empat gelaran dunia secara berturut-turut, namun jentera Red Bull yang menggunakan kuasa enjin Renault tampak agak bergelut musim ini. Pencapaian ter­baiknya adalah menduduki tangga ketiga di Sepang, dua minggu lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140408/sl_03/Dennis-selar-Vettel#ixzz2yFYme3pu  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: