PUTRAJAYA 23 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan esok.
Peguam daripada firma guaman, Tetuan Karpal Singh & Co., Zaleha Al-Hayat memberitahu, pihak pembelaan akan menyegerakan pemfailan petisyen tersebut selepas pertimbangan bagi mendapatkan lanjutan masa selama dua minggu ditolak.
Menurutnya, firma guaman itu menghantar surat kepada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan semalam bagi memohon lanjutan masa ekoran kemalangan maut yang meragut nyawa peguam utama kes itu, Karpal Singh pada Khamis lalu.
Pejabat Pendaftar dalam satu surat kepada firma guaman itu yang dihantar melalui faksimile petang ini menyatakan, pembelaan sepatutnya memfailkan notis usul memohon lanjutan masa, bukannya melalui penghantaran surat," ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zaleha menyatakan, pihak pembelaan bagaimanapun tidak bercadang mengemukakan notis usul kerana esok merupakan tarikh akhir untuk memfailkan petisyen tersebut.
Sehubungan itu, katanya, peguam Ramkarpal Singh sedang menyiapkan petisyen rayuan sebelum difailkan esok.
Zaleha berkata, pihak pembelaan mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan selepas firma itu menerima alasan penghakiman bertulis daripada mahkamah pada 14 April lalu.
Menurut beliau lagi, peguam kanan, Datuk Sulaiman Abdullah, yang sebelum ini merupakan peguam utama mewakili Anwar dalam kes liwat itu, akan menyertai semula barisan peguam bela bagi menggantikan mendiang Karpal.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd. Aizuddin Zolkeply dalam kenyataan akhbarnya hari ini menyatakan, permohonan pelanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan hendaklah dibuat melalui notis usul kepada mahkamah dan bukannya melalui surat.
Jelas beliau, setelah notis usul difailkan, permohonan tersebut akan didengar di hadapan hakim-hakim yang kemudian akan membuat keputusan sama ada dibenarkan atau sebaliknya.
Semua prosedur ini jelas dinyatakan di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995," menurut beliau lagi.
Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.
Panel tersebut membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140424/ma_02/Anwar-fail-rayuan-hari-ini#ixzz2zlsPjv2A © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment