SYDNEY 4 April - Operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kini tertumpu di dasar Lautan Hindi.
Menurut Ketua Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston, kapal tentera laut milik Australia dan Britain yang terlibat dalam operasi itu akan menggunakan peralatan pengesan sonar bagi mendengar isyarat daripada kotak hitam pesawat berkenaan.
Tambahnya, kapal-kapal berkenaan telah dikerah untuk mencari pada keluasan 240 kilometer (km) selain turut menumpukan operasi di dasar laut untuk mengesan bunyi ping daripada perakam kotak hitam itu.
Katanya, kapal Ocean Shield milik Australia menunda alat pengesan isyarat tentera laut Amerika Syarikat (AS) dengan kelajuan hanya lima kilometer sejam manakala kapal hidrografi Tentera Laut Diraja British, HMS Echo mempunyai peralatan pengesan sensitif dasar laut.
Bateri kotak hitam dijangka mampu bertahan sehingga Isnin ini namun kemungkinan juga boleh bertahan hingga pertengahan bulan ini," katanya.
Tambah Houston, operasi pencarian pesawat yang hilang hampir empat minggu itu melibatkan dua kapal selam selain empat pesawat komersial dan 10 kapal terbang tentera.
Sementara itu, tiga pesawat komersial dikhaskan untuk sukarelawan Australia yang akan bertindak sebagai pemerhati sementara pesawat keempat dijadikan sebagai geganti komunikasi," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kapal frigat dari Malaysia akan tiba di lokasi pencarian esok manakala frigat Australia akan menyertai operasi dalam masa empat hari lagi.
Kenyataan JACC hari ini memberitahu kapal HMS Echo mengesan amaran pada Khamis lalu semasa operasi pencarian namun bunyi tersebut bukan dari kotak hitam pesawat MH370 yang hilang itu.
Bunyi dari ikan paus atau kapal-kapal lain boleh mencetuskan amaran pada alat penerima sensitif sonar," jelasnya.
Tambahnya, operasi pencarian yang melibatkan beberapa negara itu tertumpu di Lautan Hindi dengan keluasan pencarian meliputi 217,000km persegi yang kini beralih sedikit ke utara dari zon pencarian sebelum ini. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140405/dn_03/Pencarian-di-dasar-laut#ixzz2yAL5VhEd © Utusan Melayu (M) Bhd
Bateri luput bukan pengakhiran usaha cari kotak hitam
KUALA LUMPUR 4 April - Ketiadaan isyarat kecemasan daripada kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 apabila jangka hayat baterinya luput, bukan pengakhiran kepada usaha mencari peralatan berkenaan di Lautan Hindi.
Pengarah Pusat Teknologi Wayarles Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Tharek Abdul Rahman berkata, peralatan sonar berfrekuensi rendah merupakan teknologi yang dapat digunakan untuk mengesan kotak hitam itu selepas baterinya luput dalam masa 30 hari iaitu Ahad ini.
Katanya, penggunaan sonar juga dapat mengesan badan pesawat yang saiznya lebih besar berbanding kotak hitam.
"Ini akan memudahkan pencarian sebab badan kapal terbang dibuat daripada besi yang peralatan sonar dapat membezakan pantulan daripada objek-objek berlainan dalam air.
"Kotak hitam akan dapat dikesan jika masih berada dalam pesawat atau di sekitar pesawat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Tharek, analogi penggunaan sonar adalah seperti radar utama yang isyarat perlu dihantar oleh satu alat dan pantulan daripada objek tertentu perlu diterima semula oleh peralatan berkenaan sebelum dianalisis untuk membezakan objek berlainan.
"Sonar seperti radar utama, yang menggunakan frekuensi rendah supaya boleh dipancarkan pada jarak jauh,'' ujar beliau.
Tambahnya, jika serpihan pesawat MH370 dikesan di suatu tempat yang sangat dalam di dasar lautan, maka pasukan pencarian boleh menggunakan dua peralatan untuk mengimbas lokasi di dasar laut menerusi teknologi sonar.
Katanya, cara pertama adalah dengan menggunakan peralatan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV) yang dikawal oleh operator di atas kapal menggunakan kabel.
"Kedua ialah menerusi kenderaan dalam air berautonomi (AUV) iaitu satu alat yang telah diprogramkan pergerakannya,'' ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140405/dn_04/Bateri-luput-bukan-pengakhiran-usaha-cari-kotak-hitam#ixzz2yALf0j4B © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment