Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 8 April 2014

MH370 - Henti sokong kempen Anwar

Huan Cheng Guan (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di luar pekarangan Balai Polis Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Ani Awang

KUALA LUMPUR 7 April - Rakyat negara ini dan media antarabangsa diminta berhenti mempertahankan kempen memburukkan imej Malaysia yang sedang diusahakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mempunyai agenda politik tertentu.

Presiden Pusat Kesedaran Politik Malaysia (CPAM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, daripada menunding jari kepada kerajaan, rakyat perlu mempersoalkan mengapa Anwar mewujudkan kempen sedemikian serta menyedari perbuatan Ketua Pembangkang itu menghina negara dalam beberapa temu bual dengan media antarabangsa.

Menurut beliau, walaupun kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk merungkai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, Anwar pula dilihat menyerang reputasi Malaysia dengan cara yang amat memalukan di media antarabangsa.

"Tiada rakyat di negara ini kecuali Anwar yang menyerang Malaysia di peringkat antarabangsa secara kejam.  Tanpa rasa malu, Anwar secara berterusan menggunakan media antarabangsa untuk mengkritik secara tidak berasas beberapa pemimpin dan cara pengendalian operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mengambil kesempatan daripada pendedahan media itu untuk meraih publisiti selain menjejaskan imej Malaysia di mata dunia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cheng Guan mengambil contoh beberapa temu bual Anwar dengan media antarabangsa antaranya Global Times pada 20 Mac lalu bersama Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, yang mengkritik usaha kerajaan mengendali misi SAR dengan menuduh kerajaan cuba melibatkannya dengan juruterbang pesawat itu yang merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, dalam temu bual dengan South China Morning Post pada 17 Mac pula, Anwar menafikan mengenali juruterbang tersebut secara peribadi sebaliknya pernah melihat kehadiran juruterbang tersebut ketika mesyuarat parti, namun ironiknya ketika dalam temu bual media yang sama pada keesokan harinya, beliau membuat pusingan U apabila mengakui juruterbang itu mempunyai hubungan persaudaraan dengan menantu perempuannya.

Dakwa Cheng Guan, adalah menjadi kebiasaan propaganda pakatan pembangkang untuk menanam sifat benci rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, Anwar secara tidak langsung membuka ruang kepada orang luar untuk menjejaskan imej negara menerusi temu bualnya.

"Amat memalukan sebagai seorang bekas timbalan menteri dan menteri, beliau mengkritik negara sendiri dan rakyat di seluruh dunia terikut-ikut dengan percakapan beliau.

"Mungkin beliau sudah lupa bahawa Malaysia bukan lagi Malaya. Beliau juga perlu sedar Malaysia adalah milik kami rakyat Malaysia dan kami amat berbangga menjadi rakyat negara ini.

"Dengan memalukan negara sendiri bermakna Anwar sekali gus memalukan kami. Perkara ini bukan berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Barisan Nasional (BN), sebaliknya berkaitan negara ini. Sehubungan itu, amat pelik bagaimana rakyat Malaysia membenarkan perkara itu terjadi," katanya.

Sehubungan itu Cheng Guan berharap rakyat negara ini sedar permainan politik Anwar dan menimbang perkara itu secara teliti.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140408/po_01/Henti-sokong-kempen-Anwar#ixzz2yFodLoRO  © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments: