DUBAI 8 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan penghargaan Malaysia terhadap Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atas bantuan negara itu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Perdana Menteri mengambil kesempatan itu ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) 2014 di Pusat Pameran dan Konvensyen Dubai, di sini hari ini.
"Izinkan saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia menyampaikan ucapan berbesar hati kepada UAE kerana membantu misi pencarian MH370.
"Ini adalah waktu yang amat sukar bagi waris mereka yang berada di dalam pesawat itu. Ingatan dan doa kita akan terus bersama mereka," katanya.
AIM merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi UAE di bawah naungan Naib Presiden dan Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada pukul 12.41 pagi 8 Mac lalu sebelum hilang dari radar kira-kira sejam kemudian, dipercayai ketika berada di ruang udara Laut China Selatan.
Sejak kehilangan misteri pesawat itu, 26 negara terlibat dalam misi SAR yang kini genap sebulan. UAE turut terlibat dalam usaha itu dengan menghantar dua pesawat tenteranya.
Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib terpaksa membatalkan lawatan rasminya ke Abu Dhabi bulan lalu bagi memberi tumpuan kepada misi pencarian MH370. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140409/dn_03/MH370-Bantuan-UAE-dihargai#ixzz2yXKxrYO2 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment