ABDUL Rahman Dahlan (tengah) bersalaman dengan sebahagian perwakilan ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu di Dewan Besar Majlis Daerah Jelebu, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam. - MINGGUAN/ABD. RAZAK AID
JELEBU 6 Sept. - Cubaan pihak tertentu menghasut Sabah keluar dari Malaysia disifatkan sebagai tindakan 'desperado' selepas gagal bertapak di negeri itu demi tujuan politik sempit mereka.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, golongan itu sebenarnya telah ditolak dalam pilihan raya lalu, namun mereka mencari jalan lain bagi meraih sokongan tanpa mengira kesan mahupun sensitiviti kaum di negeri itu.
Jelasnya, jika benar ada permasalahan timbul di negeri itu, perkara tersebut boleh diselesaikan secara tertib dan teratur dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya membakar sentimen yang tidak boleh diterima rakyat.
"Kalau benar kerajaan zalim, tidak ada dalam sejarah pada hari ini 13 menteri dan timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak berada dalam Kabinet. Jangan anggap dan fikir kami ini tunggul atau kayu sedangkan kami juga melihat kepentingan rakyat.
"Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa khususnya polis dalam menangani isu ini dan kita harap perkara tersebut dihentikan serta-merta,'' katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu di Dewan Besar Majlis Daerah Jelebu, Kuala Klawang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias serta barisan kepimpinan parti bahagian itu.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, ahli-ahli UMNO dari kesemua sayap perlu dipersiapkan dengan keupayaan untuk berbahas dan berpidato dalam melenyapkan dakyah serta tohmahan pembangkang.
Jelas beliau, biarpun parti telah melaksanakan pengkaderan ahlinya di bawah Pergerakan Pemuda UMNO, namun perlu diperluaskan bagi menimbulkan rasa minat khususnya generasi muda terhadap parti.
"Ahli UMNO tidak lagi boleh berharap atau terlalu bergantung kepada pihak ketiga menerusi media atau agensi kerajaan dalam merungkai isu-isu yang dikemukakan oleh pembangkang untuk diperjelaskan.
"Cara orang politik perlu ada keupayaan berpidato dan berbahas kerana dengan kaedah itu mereka memperoleh keyakinan orang ramai menerusi fakta yang disampaikan,'' kata beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140907/po_11/Golongan-kecewa-hasut-rakyat-Sabah-keluar-Malaysia#ixzz3Ch2A2Vd5 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment