Wendy Ng (depan kiri), Cheong Jun Hoong (depan kanan), meraikan kejayaan mereka memenangi pingat perak bersama Chew Yi Wei (belakang kiri) dan Ooi Tze Liang yang memenangi gangsa di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Walaupun sering bertukar pasangan, namun kombinasi Wendy Ng-Cheong Jun Hoong masih mampu mempamer terjunan cemerlang untuk meraih pingat perak acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada hari pertama acara terjun Sukan Asia XVII berlangsung di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan semalam.
Gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang pula meraih pingat gangsa dalam 10 meter platform seirama lelaki selepas mengumpul 384.90 mata.
Memandangkan China dianggap kuasa besar yang hampir mustahil untuk disentuh, menduduki tempat kedua ibarat berjaya meraih 'emas' buat penerjun negara lain, baik pada Sukan Asia mahu pun Olimpik.
Bagi Wendy, 21, kejayaan mempertahankan perak yang dimenangi bersama Leong Mun Yee di Guangzhou empat tahun lalu bukan saja membayar kerja kerasnya selama ini, malah membuktikan dia cukup kompetitif untuk mencabar pingat di Sukan Asia.
Semalam, gandingannya bersama Jun Hoong mengumpul 287.70 mata, 30.90 mata di belakang penerjun China yang diketuai juara Olimpik, Wu Minxia bersama pasangan baharunya Shi Tingmao. Pasangan Korea Utara, Choe Ungyong-Kim Jinok meraih gangsa dengan 274.32 mata.
"Ini adalah pingat perak kedua saya dalam penampilan kedua Sukan Asia, ini pencapaian yang bagus. Saya gembira kerana segala kerja keras selama ini berbayar.
"Memang sebelum pertandingan kami tidak tahu siapa akan digandingkan dengan siapa kerana sering bertukar pasangan. Pada Sukan Komanwel, saya berpasangan dengan (Nur) Dhabitah (Sabri) dan empat tahun lalu saya menang perak bersama Mun Yee," kata Wendy, yang akan turut beraksi dalam saingan 3m papan anjal individu.
Jun Hoong pula bergandingan dengan Loh Zhiayi pada Sukan Komanwel lalu, di mana mereka menamatkan kempen di tangga kelima, manakala kombinasi Wendy-Nur Dhabitah menutup cabaran pada kedudukan keenam.
Sementara itu, kejayaan meraih pingat perak dianggap satu peningkatan dalam karier Sukan Asia bagi Jun Hoong selepas dia meraih gangsa 1m papan anjal individu di Guangzhou empat tahun lalu.
"Saya gembira berjaya meraih perak kerana ini pencapaian terbaik saya dalam Sukan Asia.
"Kami menjalani latihan yang sangat keras untuk menghadapi temasya ini, semua orang bekerja keras, termasuk jurulatih, jadi kami memang mahu pulang bersama pingat," ujar Jun Hoong, 24. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_01/Terjun-menang-2-pingat#ixzz3ElDI4Y5r
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment