Lee Chong Wei
INCHEON - Kekalahan kali kedua berturut-turut yang dialami Datuk Lee Chong Wei kepada Chen Long tidak mencemaskan kem badminton negara kerana sejak awal lagi misi Malaysia pada Sukan Asia XVII lebih tertumpu kepada saingan individu, tegas Datuk Mohamad Norza Zakaria.
Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu juga tidak bimbang, sasaran dua perak dan satu gangsa yang ditetapkan pasukan negara mampu terjejas gara-gara kekalahan Chong Wei dalam perlawanan separuh akhir berpasukan lelaki kelmarin dan masalah kecederaan yang menimpa pemain beregu senior Tan Boon Heong.
Boon Heong cedera paha sebelum tiba di Incheon dan gagal memberikan aksi terbaik ketika kalah kepada pasangan China, Xu Chen-Zhang Nan 21-14, 15-21, 10-21.
Terdahulu, Chong Wei mengalami kekalahan ke-10 daripada 19 pertemuan dengan pemain No. 2 dunia, Chen Long 17-21, 21-9, 11-21, manakala Chong Wei Feng tewas mudah 11-21, 12-21 di tangan juara dunia lima kali Lin Dan.
"Kekalahan kepada China pada separuh akhir berpasukan tidak menjejaskan sasaran sebenar Malaysia untuk membawa pulang satu perak dan satu gangsa.
"Memang kita mengharapkan Chong Wei dapat menebus kekalahan terhadap Chen Long selepas kekalahannya di Kejohanan Dunia, tetapi walaupun dia gagal mencatat kemenangan saya tidak risau kerana sasaran utama dia adalah dalam saingan individu.
"Saya percaya, dia lebih mempersiapkan dirinya untuk perlawanan individu kerana kita sedar dalam acara berpasukan peluang untuk menewaskan China amat sukar.
"Bagi acara beregu pula, kecederaan Boon Heong tidak terlalu merisaukan saya kerana sejak awal lagi sandaran lebih diletakkan kepada pasangan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.
"Saya harap pemain beregu dapat melakukan sesuatu dalam saingan individu," kata Mohamad Norza yang hadir di Incheon untuk memberikan sokongan kepada pemain badminton dan atlet negara lain yang turut beraksi pada Sukan Asia.
Kebimbangan bahawa Chong Wei mungkin pulang tanpa emas mulai meningkat selepas pemain No. 1 dunia itu bukan saja kalah kepada Chen Long buat kali kedua selepas dikecewakan pada final Kejohanan Dunia bulan lalu, malah bakal berdepan Lin Dan pada separuh akhir perseorangan lelaki.
Kedua-dua beregu negara turut menerima undian sukar apabila terpaksa berdepan pasangan pilihan seawal pusingan pertama yang akan memulakan kempen hari ini.
Juara Sukan Komanwel, V Shem-Wee Kiong akan berdepan pilihan kelima dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin, manakala Boon Heong-Hoon Thien How memulakan kempen dengan menentang pilihan keenam, Liu Xiaolong-Qiu Zihan dari China.
Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas perseorangan lelaki adalah menerusi Datuk Punch Gunalan semasa temasya 1970 di Bangkok, manakala Boon Heong-Koo Kien Keat kekal sebagai pasangan terakhir negara menjuarai beregu lelaki di Doha lapan tahun lalu. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_04/BAM-tak-cemas-prestasi-Chong-Wei#ixzz3ECpVDAw1 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment