Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 23 September 2014

POLITIK : Azmin Menteri Besar Selangor

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

Azmin Ali melambai tangan ke arah penyokongnya selepas mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat di Damansara, Petaling Jaya, malam tadi. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

SHAH ALAM 22 Sept. - Teka-teki siapa Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya terjawab apabila Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dilantik untuk menjawat jawatan tersebut berkuat kuasa esok.

Surat pelantikan jawatan itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani diserahkan kepada Azmin, petang ini.

"Saya sahkan surat itu dikeluarkan oleh pihak Istana Selangor untuk melantik Azmin sebagai Menteri Besar yang baharu.

"Surat itu diserahkan sendiri kepada Azmin petang tadi," kata Mohamad Munir ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Kandungan surat tersebut menyatakan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan melantik Azmin untuk jawatan berkenaan berkuat kuasa esok.

Surat itu turut meminta Azmin untuk hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta penerimaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor yang akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang, esok.

Sebelum ini, tiga calon sudah pun disenarai pendek dan telah menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah iaitu Azmin; Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Bendahari Pas negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Sementara itu, Azmin melahirkan kesyukuran di atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa berkata, surat perkenan pelantikan beliau oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah diterimanya pada pukul 3 petang ini.

Katanya, Sultan Selangor telah menitahkannya untuk hadir di Istana Alam Shah pada pukul 10.30 pagi esok untuk mengangkat sumpah bagi jawatan tersebut.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT. Pada sekitar pukul 3 petang ini saya telah menerima surat daripada Sultan Selangor yang memaklumkan bahawa baginda telah memperkenan pelantikan saya sebagai Menteri Besar Selangor mulai esok," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Biro Politik PKR di pejabat PKR pusat di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan yang bermula pada pukul 5 petang turut dihadiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri beliau yang juga Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Yang turut hadir, ADUN Hulu Klang daripada Pas, Saari Sungip dan pimpinan tertinggi PKR.

Azmin berkata, keputusan tersebut diterima sebulat suara oleh barisan kepemimpinan PKR termasuk Wan Azizah yang sebelum ini merupakan calon tunggal PKR untuk jawatan itu.

Katanya, Anwar dan kesemua ADUN Selangor daripada PKR juga telah dimaklumkan dan bersetuju dengan keputusan Sultan Selangor itu.

"Sebaik sahaja saya menerima surat ini, seperti yang saya janjikan kepada parti, saya telah memaklumkan terus dalam perjumpaan dengan Ketua Umum tentang perkembangan ini dan kita telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Biro Politik tergempar pada pukul 5 petang tadi.

"Dan saya berterima kasih kepada Presiden parti serta semua rakan kerana telah sebulat suara mencalonkan saya sebagai Menteri Besar bagi pihak PKR," jelasnya.

Ketika kemelut pengganti Abdul Khalid memuncak, hanya Pas yang mencalonkan Azmin untuk jawatan Menteri Besar selepas diminta oleh Sultan Selangor untuk mengemukakan lebih daripada dua nama bagi jawatan itu manakala DAP dan PKR tetap bertegas mencalonkan Wan Azizah sahaja.

Sementara itu Anwar ketika ditemui berkata, tiada sidang akhbar akan dibuat oleh mana-mana pemimpin PKR berhubung pelantikan tersebut sebaliknya satu kenyataan yang 'sangat positif' daripada Presiden PKR akan diedarkan kepada media.

Beliau juga enggan memberi sebarang komen mengenai pemilihan Azmin meskipun diasak dengan pelbagai soalan daripada petugas media yang berkumpul di pekarangan bangunan pejabat PKR sejak pukul 2 petang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_03/Azmin-Menteri-Besar-Selangor#ixzz3E6hMlt60  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: