Zulmazran Zulkifli
INCHEON - Harapan untuk melihat kilauan pingat Sukan Asia negara diraih di gelanggang bo-ling tidak kesampaian biarpun Zulmazran Zulkifli menggungguli saingan blok pertama acara perseorangan lelaki di Gimnasium Anyang Hogye semalam.
Zulmazran pada awalnya dilihat mampu menambah koleksi pingat kontinjen negara selepas menamatkan blok pertama di kedudukan teratas dengan 1,298 jatuhan pin.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Zulmazran apabila dia dipintas oleh dua atlet dari Thailand dan seorang pemain China yang beraksi pada blok kedua di sebelah petang, menyebabkan dia merosot ke tempat keempat keseluruhan.
"Keputusan itu sangat menya-kitkan bagi saya terutama apabila anda tidak dapat untuk berbuat apa-apa ketika pemain di blok kedua meraih jumlah jatuhan pin yang tinggi.
"Saya juga tidak menjangka Thailand akan memenanginya dan ini satu kejutan namun bagi saya siapa pun yang meraih pingat dia adalah seorang yang hebat," katanya kepada pemberita selepas tamat persaingan semalam.
Pingat emas dimenangi oleh Yannaphon Larp Apharat dari Thailand yang meraih 1,319 jatuhan pin dan pingat perak milik Du Jianchao dari China yang membuat 1,300 jatuhan pin.
Rakan senegara Yannaphon, Sithiphol Kunaksorn pulang dengan pingat gangsa selepas mengumpul 1,299 jatuhan pin, satu mata mengatasi Zulmazran.
Sementara itu, Zulmazran memberitahu ini adalah keputusan terbaik pernah diraihnya dalam acara perseorangan lelaki dan berharap mampu meneruskan kecemerlangan dalam acara berpasukan.
"Setakat ini saya masih lagi berpuas hati dengan prestasi semasa kerana jika dilihat aksi saya dalam Sukan Asia sebelum ini agak kurang memberansangkan terutama dalam acara perseorangan namun kali ini nampak peningkatan positif.
"Selepas ini saya harap berpasukan lelaki dapat mempertahankan pingat emas berpasukan kerana seperti yang semua tahu Malaysia amat hebat dalam acara itu," kata Zulmazran. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_08/Zulmazran-kempunan-pingat-boling#ixzz3EI8t66Fp © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment