Nur Suryani Mohamed Taibi (kanan) bersama Muslifah Zulkifli (kiri) dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim tersenyum di pentas penerimaan pingat selepas mereka merangkul gangsa acara 50m rifle prone di Incheon semalam. - AGENSI
INCHEON - Nur Suryani Mohamed Taibi mempunyai banyak sebab untuk berasa sangat gembira dengan kejayaan menghadiahkan pingat perak buat Malaysia dalam acara menembak 50 meter rifle prone Sukan Asia XVII semalam.
Pertama, kejayaan tersebut dilakar pada sambutan hari jadi ke-32. Kedua, itu adalah pingat perak pertama Malaysia dalam acara menembak selepas 28 tahun dan ketiga, catatan Nur Suryani menyamai rekod peribadi terbaiknya 620.6 mata dan keempat, dia turut melakar sejarah membantu Malaysia memenangi gangsa acara berpasukan.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Sukan Asia skuad menembak membawa pulang dua pingat daripada satu temasya, dan yang lebih menariknya, Nur Suryani dan rakan-rakannya masih berpeluang memperbaiki catatan kerana akan beraksi dalam acara rifle 3 posisi esok.
Tidak diberi sebarang harapan ketika turun di Lapang Sasar Antarabangsa Ongnyeon, Nur Suryani bagaimanapun melakar kejutan besar apabila membidik perak dengan 620 mata, empat mata di belakang penembak Mongolia, Narantuya Chuluunbadrakh yang turut melakar sejarah meraih emas buat negaranya.
Gangsa menjadi milik penembak tuan rumah, Eum Bitna, manakala dua lagi penembak negara Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim masing-masing menamatkan cabaran di tangga ke-10 dan 21 menerusi 618.3 serta 614.7 mata.
Kombinasi 1,853 mata yang dikumpul oleh Nur Suryani, Muslifah dan Nur Ayuni Farhana kemudian menyumbang gangsa. Emas dimenangi pasukan Korea Selatan dengan 1,855.5, manakala perak milik China dengan 1,854.1 mata.
"Saya ada banyak sebab untuk berasa sangat gembira hari ini. Hari ini adalah hari jadi saya dan kejayaan ini sangat istimewa.
"Saya juga diberitahu, ini adalah pingat perak pertama Malaysia selepas 28 tahun. Gembira dapat menyumbangkan pingat buat negara pada Sukan Asia dan lebih menggembirakan lagi kami turut meraih gangsa dalam acara berpasukan.
"Sebelum turun ke lapangan, saya tidak memikirkan langsung tentang mencipta rekod atau mencari pencapaian terbaik, malah saya tidak letak sasaran, apatah lagi prone bukan acara kegemaran saya dan ada ramai penembak bertaraf dunia berentap bersama saya hari ini.
"Tetapi jika sudah rezeki, tidak ke mana.
"Saya telah menebus kekecewaan dalam acara 10m air rifle dan sekarang saya mahu balik berehat sebelum kembali berlatih kerana cabaran saya belum berakhir. Masih ada acara yang perlu ditandingi," ujar Nur Suryani, yang popular di Sukan Olimpik London 2012 kerana beraksi dalam keadaan mengandung.
Pada temasya di Guangzhou empat tahun lalu, Nur Suryani mencipta rekod bergelar penembak wanita pertama Malaysia meraih pingat Sukan Asia selepas meraih gangsa dalam 10m air rifle. Malangnya, dia gagal ke saingan akhir Isnin lalu apabila sekadar menduduki tangga ke-11.
Penembak kelahiran Perak itu mengakui, kegagalan dalam acara kegemarannya amat mengecewakan, namun dia tidak berputus asa dan bertekad untuk bangkit, tetapi sasarannya lebih kepada saingan rifle tiga posisi dan bukan rifle prone.
"Dalam rifle tiga posisi, kami lebih mensasarkan kepada acara berpasukan," kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu.
Kombinasi Ally Ong, Edmond Uong, Stanley Lim dan Yap Pow Thong menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia pada Sukan Asia dengan menghadiahkan gangsa dalam acara skeet di Tehran 1994, sebelum Peter Lim meraih perak trap di Seoul 1986. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140925/su_01/Nur-Suryani-tembak-dua-pingat#ixzz3EHzqiqzn © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment