Muhyiddin Yassin (tiga dari kiri) bersama Mustapa Mohamed (kiri), Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (dua dari kiri) dan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat dari kiri) beramah mesra dengan nelayan di Tumpat, Kelantan, semalam.
TUMPAT 21 Sept. - Sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekakat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya menjadi individu paling sibuk dalam memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail.
Sejak dari hari pengumuman serta penamaan calon pada 10 dan 13 September lalu, Timbalan Perdana Menteri tanpa mengenal erti penat sentiasa berada di negeri ini bagi membantu kempen calon BN selain memberi sokongan moral kepada jentera parti di sini.
Malah, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN tidak kekok untuk bersama-sama dengan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk berkempen 'ala Kelantan' iaitu berkunjung dari rumah ke rumah dan berbual di kedai kopi di segenap ceruk kawasan ini.
Rakyat dari segenap lapisan umur dan latar belakang dapat mendekati mereka tanpa ada sebarang protokol untuk menyampaikan aduan secara terus.
Cara untuk mendekati pengundi di negeri ini agak berbeza, mereka mahukan sentuhan secara terus dari pemimpin atasan kerana dengan cara itu sahaja segala yang terbuku di hati dapat diluahkan.
Komitmen yang ditunjukkan kedua-dua pemimpin ini sekali gus memberi semangat kepada calon dan jentera BN terus bekerja keras dalam mempertahankan kerusi DUN ini.
Selepas tarikh pengumuman dan penamaan calon, Timbalan Perdana Menteri sudah tiga kali mengadakan lawatan ke negeri ini.
Pada 16 September lalu, beliau meluangkan masa sehari di negeri ini bertemu masyarakat Siam di Wat Machimaran, Kampung Jubakar Darat selain mengunjungi rumah penduduk di Kampung Bendang Pok Yong di sini.
Lawatan Muhyiddin di kedua-dua tempat itu disambut meriah oleh masyarakat dengan rata-rata daripada mereka turut melahirkan rasa sebak dengan kehadiran pemimpin kedua tertinggi negara itu.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut melawat Pondok Simpangan untuk bertemu pelajar-pelajar yang dididik oleh Mat Razi dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
Selang tiga hari kemudian, Muhyiddin kembali lagi ke negeri ini untuk bertemu dengan warga pendidik dan golongan nelayan di kawasan itu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua golongan terbabit mengambil kesempatan meluahkan permasalahan mereka.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri sekali lagi datang ke negeri ini dengan menghadiri beberapa program ramah mesra dengan penduduk di kawasan ini.
Lawatan Timbalan Perdana Menteri itu akan diteruskan lagi esok sehingga hari mengundi pada 25 September ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140922/po_07/Muhyiddin-berkempen-ala-Kelantan#ixzz3E66jAfNK © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment