Mohd. Azizulhasni Awang (dua dari kanan) memimpin perlumbaan diikuti oleh Kazunari Watanabe (kanan), Mohammad Daneshvarkhourram dan Josiah Ng (belakang) dalam acara keirin akhir di Velodrom Antarabangsa Incheon. - UTUSAN
INCHEON - Semalam adalah hari paling malang buat jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang apabila tempat kedua yang sepatutnya diraih dalam acara akhir keirin lelaki individu dibatalkan selepas tamat perlumbaan di Velodrom Antarabangsa Incheon.
Tempat kedua yang dimenangi Azizulhasni dibatalkan atas alasan dia telah menghalang laluan pelumba lain ketika menuju ke garisan penamat.
Pembatalan keputusan itu menyebabkan berlaku perubahan untuk kedudukan pelumba kedua dan ketiga yang menyaksikan seorang lagi pelumba negara Josiah Ng meraih pingat gangsa manakala pingat perak milik pelumba Jepun, Kazunari Watanabe.
Pingat emas acara tersebut dimenangi pelumba Iran, Mohammad Daneshvarkhourram.
Pembatalan keputusan Azizulhasni itu menyebabkan pelumba tersebut terlepas sasaran untuk mengekalkan pingat emas dalam acara keirin yang diraih pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
Katanya, dia akur dengan hukuman tersebut walaupun berpendapat keputusan itu tidak adil buatnya.
"Dalam perlumbaan tersebut berlaku persaingan antara saya dengan Watanabe dan pihak komisar telah melihat rakaman video dan mendapati saya serta pelumba Jepun tersebut bersalah dan perlu dibatalkan penyertaan.
"Bagaimanapun, selepas perkara tersebut dirujuk kepada ketua komisar lain pula jadinya dan keputusan lain dikeluarkan iaitu hanya saya sahaja disingkirkan.
"Bagi saya memang tidak adil tetapi jurulatih telah menasihatkan saya agar menerima keputusan tersebut kerana telah diputuskan oleh ketua komisar," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan semalam.
Katanya lagi, dia mahu berehat dan tidak mahu terlalu memikirkan keputusan pada Sukan Asia kali ini.
"Saya akan berehat bersama keluarga selepas menjalani persiapan yang amat panjang untuk Sukan Asia.
"Selepas ini juga saya akan cuba untuk mendapatkan jumlah mata yang lebih baik pada kejohanan Piala Dunia bulan November ini bagi mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik 2016," katanya.
Sementara itu, dalam saingan akhir pecut individu wanita menyaksikan pelumba negara, Fatehah Mustapa hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas 0-2 kepada Lin Junhong dari China. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_02/Pingat-Azizul-kena-tarik#ixzz3EP4GOI3D
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment