Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 24 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Nicol pecah rekod sendiri


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sempat bergambar selfie dengan Nicol David, Wee Wern dan dua pemenang gangsa selepas majlis penyampaian pingat di Pusat Skuasy Yeorumul, Incheon semalam. - UTUSAN

INCHEON - Datuk Nicol David memecah satu lagi rekod dalam kariernya yang gemilang apabila muncul atlet Malaysia paling cemerlang dalam sejarah Sukan Asia apabila merangkul pingat emas kelimanya di Incheon semalam.

Jaguh skuasy itu, yang sudahpun memegang pelbagai rekod termasuk muncul juara dunia paling banyak dengan tujuh kejuaraan, mempertahankan gelaran perseorangan wanita selepas mengecewakan rakan senegara Low Wee Wern 9-11, 11-6, 11-5, 12-10 di Pusat Skuasy Yeorumul.

Ini adalah kali pertama dua pemain Malaysia bertemu sesama sendiri di pentas akhir perseorangan wanita Sukan Asia, malah kemenangan ini juga amat bermakna buat Nicol kerana ia adalah kejuaraan perseorangan keempat buatnya sejak kali pertama muncul juara di Bangkok pada 1998.

Selepas sekadar pulang bersama perak di Busan 2002, Nicol merampas kembali gelaran di Doha 2006, sebelum menghadiahkan dua emas buat Malaysia pada temasya Guangzhou 2010 dalam acara perseorangan dan berpasukan.

"Saya tidak pernah terfikir tentang rekod (muncul atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Asia), tetapi sudah tentu satu perasaan yang hebat apabila dapat merangkul emas kelima di Sukan Asia.

"Bagaimanapun cabaran kita belum berakhir kerana masih ada acara berpasukan untuk diharungi. Saya perlu mempersiapkan diri untuk memastikan kami dapat pulang bersama satu lagi pingat emas," kata pemain No. 1 dunia itu.

Nicol, 31, yang diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan memecah rekod legenda olahraga Tan Sri Dr. M. Jegathesan, legenda badminton Ng Boon Bee dan ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang sebelum ini menjadi pemenang pingat terbanyak Malaysia di Sukan Asia.

Jegathesan mengetuai pungutan pingat individu dengan empat emas, dua perak dan satu gangsa, manakala pakar beregu, Boon Bee dan Shalin berkongsi empat emas, satu perak serta dua gangsa.

Kemenangan semalam membolehkan Nicol menambah koleksi pingat Sukan Asia kepada lima emas dan satu perak. Dia juga berpotensi meraih emas keenam apabila Malaysia bersaing dalam acara berpasukan wanita bermula hari ini.

Nicol dan Wee Wern akan kembali ke gelanggang untuk meneruskan cabaran Malaysia dalam berpasukan wanita bersama Delia Arnold dan Vanessa Raj. Skuad negara akan memulakan kempen dengan berdepan Jepun.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu, yang melaungkan keyakinan untuk kembali ke Sukan Asia di Jakarta 2018 turut memegang rekod juara Asia paling banyak dengan lapan gelaran, selain mencipta rekod tidak kalah dalam 51 perlawanan berturut-turut (13 bulan) dari Mac 2006 hingga April 2007.

Sementara itu Wee Wern mengakui, Nicol terlalu hebat buatnya walaupun dia cuba memberi tentangan sengit termasuk menang di set pertama.

"Dia adalah juara dunia tujuh kali, permainannya jauh lebih baik daripada saya dari segenap segi walaupun saya cuba memberikan yang terbaik hari ini.

"Saya percaya, dia masih boleh merangkul kejuaraan kalau dia mahu beraksi dalam Sukan Asia empat tahun akan datang," katanya. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_01/Nicol-pecah-rekod-sendiri#ixzz3ECkusIri
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: