Farah Ann Abdul Hadi melakukan aksi menarik dalam disiplin palang titian dalam acara gimnastik artistik all-around individu wanita di Gimnasium Namdong, Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Dengan mengambil kira standard yang tinggi, malah kali pertama menyertai Sukan Asia, Farah Ann Abdul Hadi berasa puas walaupun sekadar menamatkan saingan di tangga ketujuh dalam gimnastik artistik all-around individu wanita di Gimnasium Namdong semalam.
Gimnas berusia 20 tahun itu melengkapkan empat rutin iaitu senaman lantai, palang bertingkat, batang titian serta lombol dengan mengumpul 51.750 mata.
Catatan tersebut adalah lebih baik daripada apa yang dilakukan Farah dalam Sukan Komanwel di Glasgow bulan lalu, di mana dia menutup kempen pada kedudukan ke-11 dengan 51.065 mata.
Malah, kutipan mata Farah juga jauh mengatasi dua pesaing dari Singapura, Janessa Dai dan Lim Heem Wei, yang masing-masing mengutip 48.465 mata serta 48.299 mata, sekali gus memberi isyarat positif menjelang Sukan SEA tahun depan.
Farah yang menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara gimnastik artistik di Incheon, mempamer persembahan terbaik dalam rutin lombol di mana dia mengutip 13.650 mata.
Dia turut beraksi baik dalam senaman lantai dengan meraih 3.050 mata, selain mengutip 12.800 mata dalam palang bertingkat, diikuti 12.50 dalam acara batang titian.
"Saya gembira dengan prestasi hari ini, sangat-sangat bagus. Sasaran awal saya cuma cuba menempatkan diri dalam kelompok 11 terbaik, tetapi saya menutup cabaran di tangga ketujuh.
"Apa yang paling penting, mata yang saya kutip kali ini lebih baik berbanding Sukan Komanwel bulan lalu sedangkan persaingan Sukan Asia sangat kompetitif dengan kehadiran gimnas handalan dunia dari China, Korea Selatan, Jepun dan Uzbekistan.
"Saya tak sangka dapat memberi persembahan yang baik dan tidak sabar untuk turun ke gelanggang sekali lagi dalam acara kegemaran saya, senaman lantai Khamis ini (esok). Itu satu-satunya final yang akan saya sertai selepas ini, harap dapat menamatkan cabaran sekurang-sekurangnya dalam kedudukan tujuh terbaik," kata Farah.
Melihat kepada prestasi yang dipamer Farah dalam senaman lantai semalam, dia sebenarnya berada pada kedudukan baik untuk bersaing dalam perebutan pingat kerana mencatat mata keempat tertinggi di belakang pemenang emas, Yao Jinnan dari China, Yun Nare (Korea Selatan) dan Yamamoto Yuriko (Jepun).
Farah berkongsi mata bersama Shang Chunsong dari China.
Sementara itu, pingat emas all-around individu wanita menjadi milik Jinnan selepas mengumpul 57.900 mata, meninggalkan Chunsong dengan perak menerusi 56.950 mata.
Nare pula menghadiahkan gangsa buat tuan rumah menerusi 55.000 mata. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_05/Farah-puas-atasi-pencapaian-di-Sukan-Komanwel#ixzz3ECqoLpXa © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment