Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Thursday 25 September 2014

POLITIK : Faekah pertahan tindakan Khalid pecat Anwar



Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 24 Sept. - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) menutup pejabat dan menamatkan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin berkata, hal demikian kerana, arahan tersebut diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya menerima arahan penutupan tersebut setelah MMKN memutuskan perkara itu Isnin lalu memandangkan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor terletak di bawah kelolaan MBI sejak diwujudkan pada 2009.

"Saya dapat arahan daripada MMKN mengenai penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Keputusan penutupan itu dibuat oleh MMKN dan MBI hanya melaksanakan arahan termasuk membuat pengumuman sebelum ini.

"Tidak timbul soal tutup Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor pada saat akhir (pentadbiran Menteri Besar dahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Faekah diminta mengulas kenyataan Azmin selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu semalam yang mengkritik tindakan Abdul Khalid memecat Anwar daripada jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.

Kelmarin, Faekah mengeluarkan satu kenyataan yang mengumumkan penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor bagi menjimatkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Faekah menambah, berdasarkan arahan MMKN, pihaknya dimaklumkan bahawa keputusan itu dibuat atas perkiraan mengurangkan kos tidak mustahak yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri melibatkan perbelanjaan operasi Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan jumlah kos yang telah ditanggung kerajaan negeri bagi menampung operasi pejabat tersebut selain menolak sebarang andaian pihak tertentu kononnya mempunyai kaitan dengan tarikh akhir pentadbiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar sebelum ini.

"Selain mengurangkan kos tidak mustahak, saya dimaklumkan bahawa keputusan MMKN itu turut mengambil kira pertindihan tugas antara Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dengan agensi pelaburan kerajaan negeri, iaitu Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) sebelum ini," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140925/po_04/Faekah-pertahan-tindakan-Khalid-pecat-Anwar#ixzz3EHxm0s9u  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: