Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my
KERATAN Utusan Malaysia semalam.
KUALA LUMPUR 19 Sept. - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali diyakini tidak akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Penganalisis politik, Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, pelbagai kesan buruk akan berlaku sekiranya Azmin dipilih memegang jawatan itu kerana beliau juga akan menjadi boneka sama seperti Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.
"Azmin adalah bayangan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak nampak beliau mampu membawa Selangor sekiranya dilantik memegang jawatan itu.
"Kes seumpama ini pernah terjadi ketika Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi Menteri Besar Perak apabila dia banyak mengikut arahan DAP. Kita tidak nampak pakatan pembangkang benar-benar berjuang untuk rakyat tetapi lebih untuk mendambakan kuasa,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu adalah antara yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu selain ADUN Chempaka dari Pas, Iskandar Abdul Samad.
Pengumuman nama itu dijangka dibuat sebelum upacara angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang pada Selasa ini.
Dalam pada itu, Noor Sulastry yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM) berkata, Iskandar lebih layak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Jelas beliau, selain merupakan anak jati Selangor berbanding Azmin, Pesuruhjaya Pas Selangor itu mempunyai kredibiliti dan kepimpinan yang lebih diyakini untuk mentadbir negeri itu.
"Iskandar seorang profesional sebagaimana ketokohan kepemimpinan Abdul Khalid, namun kita berharap beliau mampu membuat keputusan sendiri untuk membawa Selangor ke arah kebaikan tanpa ada 'tangan-tangan ghaib' untuk menjatuhkannya pula,'' katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140920/po_14/MB-Azmin-tidak-layak#ixzz3E1Rv44sH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment