SELAIN Lee Chong Wei, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock (kiri) turut mempertaruhkan Chong Wei Feng (kanan) dalam aksi perseorangan badminton Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan. - UTUSAN
INCHEON - Walaupun Datuk Lee Chong Wei mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada juara dunia, Chen Long dan berisiko gagal menjejak kaki ke final acara individu kerana diundi menentang musuh tradisi, Lin Dan pada separuh akhir, namun jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock optimis jaguh No. 1 dunia itu mampu pulang bersama keputusan baik di Sukan Asia Incheon.
Chong Wei yang tidak pernah memenangi pingat emas pada Sukan Asia menerima undian awal yang agak mudah, namun langkahnya untuk mencari tiket akhir cukup berliku kerana perlu berdepan pemain yang telah mengalahkannya sebanyak 22 kali, Lin Dan.
Biarpun belum mempamer aksi meyakinkan dalam saingan berpasukan, namun Seu Bock yang lebih mesra dengan panggilan Ah Bock percaya, anak buahnya itu menunjukkan sikap positif ketika tewas 17-21, 21-19, 11-21 kepada Chen Long, semalam.
"Biasanya setiap kali kalah, Chong Wei atau saya akan berasa tertekan, tetapi hari ini, kekalahan Chong Wei tidak menggusarkan dirinya atau saya sendiri. Saya tidak nampak dia terjejas gara-gara gagal menumpaskan Chen Long buat kali kedua berturut-turut.
"Chong Wei nampak tenang di atas gelanggang walaupun gagal menyaingi Chen Long. Dia cuba menukar gaya permainan dan ia tidak menjadi, jadi dia tidak memberikan aksi sebenar hari ini. Saya percaya, keadaan pasti berbeza dalam saingan individu nanti.
"Pertemuan dengan Lin Dan pada separuh akhir pula sesuatu yang istimewa kerana ia sering dinantikan oleh peminat badminton seluruh dunia. Sejak awal lagi, Chong Wei tahu potensi untuk bertemu pemain China itu di peringkat awal sentiasa ada dan dia sudah bersedia.
"Pada saya, Lin Dan masih memiliki skil dan sentuhan yang bagus tetapi sejauh mana kekuatannya kita tidak tahu kerana dia sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa. Dia perlu mencari rentak," kata Seu Bock.
Chong Wei, yang menang sembilan daripada 31 pertemuan dengan Lin Dan mendapat bye di pusingan pembukaan dan bakal berdepan Umer Zeesham dari Pakistan di pusingan kedua. Kashyap Parupalli dari India serta jaguh Jepun, Bonsak Ponsana adalah pencabar yang berpotensi menanti di pusingan ketiga dan suku akhir.
Kali terakhir Chong Wei bertemu Lin Dan adalah pada Kejohanan Dunia di Guangzhou, China tahun lepas.
Chong Wei Feng pula menganggap dirinya bernasib malang kerana terpaksa berdepan Chen Long seawal pusingan kedua.
"Ini undian yang amat buruk," kata perseorangan kedua negara itu, yang menerima bye pada pusingan pertama.
Laluan getir juga menanti dua beregu lelaki negara kerana menerima undian sukar seawal pusingan pembukaan lagi.
Sudahlah Tan Boon Heong dibelenggu kecederaan paha dan gagal memberi persembahan terbaik ketika tewas kepada Xu Chen-Zhang Nan semalam, dia dan Hoon Thien How terpaksa berdepan pilihan keenam dari China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan di pusingan pertama.
Bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia pula lawan yang dijangka menanti seandainya mereka berjaya melangkah ke pusingan ketiga.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula akan memulakan kempen dengan berdepan pilihan kelima, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan di pusingan pertama.
Pilihan ketiga, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun dan bekas juara dunia, Fu Caifung-Cai Yun dari China calon menanti di suku akhir, manakala pasangan No. 1 dunia, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan berpotensi menunggu di separuh akhir. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140923/su_02/Ah-Bock-belum-panik#ixzz3E6YPby6w
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment