Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang, membuat pecutan untuk memintas lawan dari Hong Kong, Law Kwun Wa, ketika beraksi dalam acara lelaki sprint di Velodrom Antarabangsa, Incheon, Korea, disini hari ini.
INCHEON - Strategi mengelirukan dengan mempelbagaikan corak perlumbaan membolehkan Mohd. Azizulhasni Awang melepasi saingan suku akhir pecut berbasikal individu di Velodrom Antarabangsa Incheon semalam.
Taktik bijak jaguh berbasikal negara itu berjaya memperdaya lawannya Im Chaebin dari Korea Selatan sekali gus memenangi kedua-dua pertarungan.
Kemenangan tersebut membolehkan Azizulhasni melangkah ke saingan separuh akhir yang dijadual berlangsung hari ini.
Kata Azizulhasni, dia tiada pilihan lain selain harus mengelirukan lawannya bagi menghalang Im Chaebin daripada membaca rentak kayuhannya terutama dalam pertarungan pertama.
"Dalam perlumbaan pertama saya cuba beraksi seperti biasa dan persaingan nampak sengit sebelum saya dapat memenanginya.
"Sewaktu perlumbaan kedua pula saya dapat melihat Im Chaebin seakan tidak bersemangat dan itu membuatkan saya terus memecut meninggalkannya di belakang saya hingga ke garisan penamat," katanya selepas tamat perlumbaan suku akhir semalam.
Hari ini Azizulhasni dijadual menentang pelumba dari Jepun, Kawabata Tomoyuki yang menewaskan lawan dari China, Xu Chao dalam aksi suku akhir.
Sementara itu, Azizulhani turut berharap saingan separuh akhir hari ini dapat berlangsung seperti dirancang.
"Saya perlu mengekalkan prestasi ini dan pada perlumbaan esok (hari ini) berusaha memenanginya.
"Dalam masa sama saya juga harus sentiasa berwaspada dengan pelumba lawan kerana trek di sini banyak memberikan kelebihan kepada pelumba dari Korea Selatan dan Jepun," katanya. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140924/su_03/Strategi-Azizul-peningkan-lawan#ixzz3ECmT1NtY © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment