INCHEON - Kejayaan muncul naib juara Piala Thomas, Mei lalu meningkatkan harapan untuk melihat Malaysia merangkul pingat emas badminton berpasukan Sukan Asia buat kali pertama, namun China menyerlahkan standard sebenar pemain negara dengan menyingkirkan mereka pada separuh akhir.
Kekalahan 0-3 kepada juara lima kali itu semalam menyaksikan hanya pingat gangsa mampu dibawa pulang pasukan negara, sekali gus gagal menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas 24 tahun.
Sebaik saja jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada juara dunia, Chen Long 17-21, 21-17, 19-21 dalam perseorangan pertama, peluang untuk melakar kemenangan di Gimnasium Gyeyang mulai pudar.
Beregu senior, Tan Boon Heong-Hoon Thien How memberi sedikit harapan untuk memimpin kebangkitan Malaysia apabila menang 21-14 di set pertama ketika berdepan Zhang Nan-Xu Chen, malangnya kecederaan paha yang menghantui Boon Heong sejak di Kuala Lumpur membataskan pergerakan pemain itu dan akhirnya membawa kepada kekalahan 21-14, 15-21, 10-21.
Pada kedudukan 0-2, sebarang hasrat untuk melihat Malaysia merapatkan jurang 1-2 dalam perseorangan kedua tampak mustahil kerana lawan Chong Wei Feng adalah juara dunia lima kali, Lin Dan.
Seperti diduga, pemain berusia 27 tahun itu tunduk mudah 11-21, 12-21 hanya dalam masa 41 minit, sekali gus menyingkirkan pasukan negara daripada persaingan merebut pingat emas hari ini.
"Saya kalah kepada pemain yang lebih bagus hari ini. Chen Long turun ke gelanggang dengan keyakinan yang sangat tinggi, selain lebih banyak menyerang. Tidak banyak yang dapat saya lakukannya biarpun sudah cuba memberi yang terbaik.
"Saya cuba menukar corak permainan di set ketiga, tetapi ia tidak menjadi, sebaliknya banyak melakukan kesilapan.
"Apa pun tidak mengapa, kekalahan ini tidak menggusarkan saya untuk menghadapi saingan individu. Saya akan cuba beri yang terbaik dan mencari keputusan lebih bagus," ujar Chong Wei, sambil menafikan kekalahan kepada Chen Long pada Kejohanan Dunia, bulan lalu menjejaskan fokusnya di Incheon.
Chen Long, yang memegang rekod pertemuan 10-9 ke atas Chong Wei menganggap lawannya beraksi di bawah tekanan hingga gagal memberikan persembahan terbaik.
"Dia sama sekali tidak bermain baik hari ini, jelas sekali Chong Wei nampak tertekan," ujar pemain tinggi lampai itu, yang sebelum ini menundukkan Chong Wei 21-19, 21-19 dalam perebutan gelaran dunia di Denmark, bulan lalu.
Kekalahan terbaru kepada China menyaksikan pingat perak yang diraih pasukan negara pada Sukan Asia 1966 dan 1990 kekal sebagai pencapaian terbaik.
China kini akan berdepan Korea Selatan untuk perebutan pingat emas, manakala pasukan negara berkongsi gangsa bersama Taiwan yang terdahulu tumpas 0-3 kepada tuan rumah dalam satu lagi aksi separuh akhir.- UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140923/su_03/Hanya-gangsa-standard-Malaysia#ixzz3E6ZdTNNh © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment