KLANG 26 Sept. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur sikap pakatan pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkan baginda sebagai pencetus kepada krisis pentadbiran di negeri ini.
Teguran keras baginda itu dizahirkan menerusi titahnya dalam majlis istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji barisan Exco kerajaan negeri yang baharu di Istana Alam Shah di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
Baginda bertitah, majlis istiadat tersebut mungkin tidak akan berlangsung sekiranya PKR dan sekutunya, DAP masih mengekalkan keyakinan mereka terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sebelum ini.
Sebaliknya kedua-dua parti itu, menurut baginda. telah memilih untuk tidak memberikan kepercayaan kepada Abdul Khalid sehingga memerlukan Menteri Besar serta barisan Exco yang baharu dilantik bagi mentadbir kerajaan negeri.
"Pelantikan Exco yang baharu ini adalah disebabkan PKR dan DAP tidak mempunyai keyakinan kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Oleh itu, seorang Menteri Besar yang baharu dan Exco yang baharu juga perlu dilantik untuk mentadbir kerajaan negeri ini," titah baginda.
Pada masa sama, baginda secara terbuka menyifatkan kemelut pentadbiran di negeri ini berpunca daripada tindakan pakatan pembangkang melaksanakan Langkah Kajang yang menyaksikan usaha-usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Di sebalik Langkah Kajang menurut baginda, paling mendukacitakan apabila timbulnya pelbagai hasutan dan tohmahan yang dilakukan oleh PKR untuk memburuk-burukkan Abdul Khalid termasuk pada saat-saat umat Islam menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan lalu.
"Umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredai oleh Allah SWT untuk membersihkan dosa dan maksiat.
"Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali rakyat Melayu beragama Islam di Selangor supaya dalam bulan Ramadan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah SWT tetapi PKR tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat untuk menjatuhkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar," titah baginda.
Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berterima kasih kepada Abdul Khalid kerana menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar dengan baik.
Dalam pada itu, Sultan Selangor bertitah, krisis pentadbiran melibatkan jawatan Menteri Besar telah banyak membuka mata dan hati baginda terhadap politik di negeri ini.
"Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama lima tahun dan mungkin akan diganti pada pilihan raya umum akan datang tetapi kedudukan beta sebagai sultan yang memerintah Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat beta," titah baginda.
Baginda turut mengingatkan semua pihak khususnya ahli politik berhubung kedudukannya sebagai Sultan Selangor bukan hanya terhad dalam istiadat atau majlis rasmi semata-mata tetapi melangkaui kepada usaha untuk memastikan negeri dan rakyat hidup dalam suasana aman serta maju.
"Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar sultan, rakyat beranggapan institusi beraja adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
"Beta dapati ada ahli politik tidak faham akan peranan dan kuasa institusi raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana beta yakin mereka mempunyai agenda lain.
"Beta, sultan yang memerintah Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah dimeterai pada 1959," titah baginda.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140927/po_01/Langkah-Kajang-punca-krisis---Sultan-Selangor#ixzz3EgKCTqPZ © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment