INCHEON - Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen di Sukan Asia dengan berpesta gol apabila menewaskan Singapura 8-2 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Seonhak semalam, dengan Muhammad Razie Rahim mencipta hatrik.
Jurulatih negara Arul Selvaraj berkata, kemenangan tersebut telah menjadi pembangkit semangat buat pasukannya untuk meneruskan saingan dengan konsisten untuk baki perlawanan di peringkat kumpulan.
"Pemain nampak sedikit gementar pada awal permainan namun selepas mendapat dua gol semuanya berjalan seperti dirancang.
"Sasaran kami untuk perlawanan ini adalah mendapatkan tiga mata penuh sahaja dan saya anggap jumlah jaringan besar ini sebagai bonus," katanya.
Malaysia mula mendahului 2-0 dalam masa seminit, menerusi pukulan sudut penalti minit kedua yang dimanfaatkan oleh Muhammad Razie dan hasil gol padang penyerang Mohd. Fitri Saari.
Muhammad Razie mencipta hatrik apabila menambah dua lagi gol pada minit ke-17 dan 35 sementara empat lagi gol dijaringkan gol Muhammad Firhan Ashari (minit 30), Tengku Ahmad Tajuddin Abd. Jalil (minit 37), Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (minit 48) serta Mohd. Sharun Nabil Abdullah (minit 51).
Singapura bagaimanapun berjaya membolosi pertahanan negara menerusi ketua pasukan Abdul Lathif Merican Enrico Elifh (minit 11) dan Abdul Razak Noor Shah Silas (minit 28).
Malaysia akan menentang Bangladesh dalam perlawanan kedua hari ini sebelum bertemu tuan rumah yang juga juara Asia, Korea Selatan pada Khamis.
Misi skuad hoki kebangsaan pada Sukan Asia kali ini adalah memburu pingat emas bagi mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil pada 2016.- MINGGUAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140921/su_03/Malaysia-baham-Singapura#ixzz3E6eHWSYs © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment