Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my
NICOL David (empat dari kiri) dan rakan-rakan sepasukannya menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka di Sukan Asia kepada peminat yang berada di KLIA, Sepang semalam. - UTUSAN/Kamal Basir Wahab
SEPANG - Datuk Nicol David tidak begitu peduli dengan kritikan yang merendah-rendahkan pencapaian pemain-pemain skuasy negara yang membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia di Incheon.
Pemain nombor satu dunia itu mengakui dia tidak begitu bernasib baik kerana tidak berpeluang beraksi di pentas Sukan Olimpik meskipun sudah meraih pelbagai gelaran di pentas antarabangsa termasuk muncul juara Kejohanan Terbuka Dunia sebanyak tujuh kali.
"Sangat tidak bernasib baik kerana skuasy tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik tetapi saya fikir sukan ini akan dipertandingkan suatu hari nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.
Nicol berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan di laman sosial milik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mempertikaikan kemenangannya di Incheon kerana sukan tersebut tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.
Nicol memecahkan rekod dalam kariernya yang gemilang apabila muncul atlet Malaysia paling cemerlang dalam sejarah Sukan Asia apabila merangkul pingat emas kelima dalam acara perseorangan wanita dan menambah satu lagi koleksi pingat emas menerusi acara berpasukan wanita.
Dia menyifatkan pasukan negara berjaya beraksi dengan baik selepas menyumbang dua pingat emas (perseorangan wanita, berpasukan wanita), dua pingat perak (perseorangan wanita, berpasukan lelaki) dan satu pingat gangsa (perseorangan lelaki) sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Secara keseluruhan pasukan negara berjaya beraksi dengan baik selain Wee Wern (Low Wee Wern) berjaya menyumbang pingat perak pertama untuk negara dalam acara perseorangan wanita," katanya.
Sementara itu, pemenang gangsa perseorangan lelaki Ong Beng Hee berkata, pemilihan sukan untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik terletak di tangan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan persatuan sukan serta pemain hanya mampu melobi agar skuasy dapat dipertandingkan pada masa akan datang.
Katanya, memang sesuatu yang sangat mengecewakan apabila seseorang atlet itu tidak dapat beraksi di Sukan Olimpik kerana ia merupakan kejohanan sukan terulung di dunia.
"Bukan pilihan kami untuk tidak bermain kerana IOC yang menentukan sukan yang akan dipertandingkan tetapi saya berharap skuasy akan diberi peluang untuk bertanding di Sukan Olimpik 2020.
"Buat masa ini, para pemain perlu beraksi dengan baik selain menjaga sikap semasa di dalam dan di luar gelanggang serta menjaga nama baik sukan ini.
"Seperti Nicol, saya dan Azlan (Mohd. Azlan Iskandar) memang berharap untuk beraksi di Sukan Olimpik. Sekurang-kurangnya jika sukan ini dipertandingkan pada masa akan datang pemain generasi baharu berpeluang untuk bermain di sana," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_03/Nicol-tak-kisah-kritikan-di-laman-sosial#ixzz3Eg7AvbFA © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment