LEE Chong Wei (kanan) mengucapkan tahniah kepada Lin Dan selepas tewas dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Gyeyang, Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Datuk Lee Chong Wei bermula dengan meyakinkan, menang mudah di set kedua, namun pada akhirnya terpaksa menerima hakikat, Lin Dan terlalu bagus buatnya dan entah kali keberapa dia gagal lagi merangkul kejuaraan utama badminton.
Kekalahan terbaharu ini menyebabkan Chong Wei menutup kariernya dalam sejarah Sukan Asia tanpa pingat emas selepas tiga kali mencuba sejak meraih gangsa dalam penampilan sulung di Doha 2006, diikuti perak di Guangzhou empat tahun lalu.
Chong Wei berpeluang menamatkan saingan separuh akhir perseorangan lelaki Sukan Asia XVII semalam sebagai pemenang, malah mendahului 20-16 di set pertama. Tetapi dia kemudian hilang fokus, kurang berani mencuba serta gagal menyaingi kekuatan mental Lin Dan menyebabkan pemain No. 1 dunia itu tunduk 20-22, 21-12, 9-21.
Sejurus tamat permainan, Chong Wei, yang tumpas buat kali ke-23 daripada 32 pertemuan dengan bintang China itu, mengakui permainan lawannya masih bagus, biarpun jarang beraksi di pentas antarabangsa.
Malah, Chong Wei juga terpaksa akur tumpas kepada lawan yang sama dalam enam percubaan merangkul kejuaraan utama - dua dalam final Sukan Olimpik (2008, 2012), dua dalam final Kejohanan Dunia (2011, 2013) dan dua kali dalam Sukan Asia iaitu final 2010 serta separuh akhir kali ini.
"Saya kena terima kekalahan ini dan terima bahawa saya gagal meraih pingat emas Sukan Asia kerana ini adalah penampilan terakhir saya.
"Apa yang akan saya lakukan selepas ini...pulang berehat, kaji semula permainan saya dan kembali ke gelanggang pertandingan.
"Set pertama memang rugi. Saya sudah mendahului 20-16 tetapi melepaskan enam mata kepada Lin Dan kerana terlalu ingin menamatkan permainan dengan cepat. Bila mata menjadi rapat, saya mula hilang fokus.
"Di set ketiga apa yang berlaku...saya tidak boleh ikut permainan dia. Lin Dan main dengan keyakinan yang amat tinggi, dan bila dia mendahului 7-2 sudah terlalu sukar untuk saya kejar," katanya.
Chong Wei yang bakal menyambut ulang tahun ke-32 pada 21 Oktober ini turut mengakui, permainan Lin Dan masih bagus walaupun juara dunia lima kali itu tidak lagi berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
"Kalau tengok keadaan dia hari ini...dia masih ada kepantasan dan mampu menyerang dengan bagus. Dia bukan tidak bermain langsung dalam kejohanan, jadi sentuhan dia masih ada," ujarnya lagi.
Sementara itu Lin Dan, 31, pula berkata, dia tidak tahu apa yang membezakan dirinya dengan Chong Wei hingga menyaksikan perjalanan karier kedua-dua mereka amat berbeza, yang mana musuh tradisinya itu tidak pernah berjaya merangkul sebarang kejuaraan utama.
"Saya tidak tahu mengapa (Chong Wei sering gagal). Saya hanya boleh cakap tentang diri saya, mengapa sehingga sekarang saya boleh mencatat kemenangan.
"Saya amat bernasib baik kerana mempunyai sokongan yang kuat di China. Saya ada barisan jurulatih terbaik, saya ada rakan-rakan sepasukan dan sepelatih terbaik, jadi itu memang banyak membantu," ujar penyandang juara itu lagi.
Lin Dan akan berdepan rakan senegaranya yang juga juara dunia, Chen Long dalam perebutan pingat emas hari ini. Chen Long mara ke final selepas menyingkirkan pemain Hong Kong, Wei Nan 21-6, 21-10. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_01/Tutup-karier-tanpa-emas#ixzz3Eg4fWegx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment