Lee Chong Wei masih gagal memenangi gelaran kejohanan besar, termasuk di Sukan Asia walaupun menguasai kejohanan terbuka.
INCHEON - Tukar jurulatih, ubah program atau lakukanlah apa saja, yang pasti Datuk Lee Chong Wei perlu membuat perubahan besar jika mengimpikan untuk memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro atau menjadi juara dunia buat julung kalinya.
Selepas menjaga Chong Wei selama empat tahun sejak peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek pada 2011, Tey Seu Bock telah melakukan segala yang termampu untuk membantu jaguh No. 1 dunia itu merangkul kejuaraan besar, namun usahanya gagal buat ke sekian kali apabila anak buahnya itu tersingkir di separuh akhir Sukan Asia XVII kelmarin.
Kekalahan 20-22, 21-12, 9-21 kepada musuh tradisi, Lin Dan dari China 'mencacatkan' karier Chong Wei yang sepatutnya cemerlang kerana telah mencipta begitu banyak rekod dalam kejohanan berstatus terbuka.
Selepas segala usaha menemui kegagalan, Seu Bock akhirnya akur - mungkin sudah tiba masanya Chong Wei melakukan 'anjakan besar' dalam kariernya bagi memenuhi impian bergelar juara kejohanan utama seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
"Saya sudah melakukan segala-galanya yang termampu, mengorbankan banyak perkara untuk membantu Chong Wei menjadi juara Olimpik dan dunia seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia, tetapi malangnya masih tidak berlaku.
"Sepanjang empat tahun menjaga Chong Wei, memang banyak kejayaan yang telah kami capai (dalam kejohanan Terbuka), malah dia melakukan rekod yang mungkin sukar untuk dipecah oleh mana-mana pemain, namun apabila tiba kejohanan utama...dia tetap gagal untuk bergelar juara.
"Seperti seluruh rakyat Malaysia, Chong Wei dan saya juga amat kecewa apabila gagal pulang bersama kemenangan. Kami sudah mencuba semua yang terdaya, bekerja keras semampu yang boleh dan merencanakan program terbaik, tetapi mungkin tidak cukup baik.
"Jadi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan Chong Wei membawa pulang emas dari Sukan Asia Incheon. Apabila kembali ke Kuala Lumpur, saya akan jumpa BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan bincang tentang perubahan besar yang perlu dilakukan jika mereka mahu Chong Wei terus maju," kata Seu Bock.
Dalam tempoh empat tahun di bawah bimbingan Seu Bock, Chong Wei, 32, telah merangkul dua kejuaraan All England.
Pada 2011, dia memenangi enam kejuaraan Terbuka, diikuti lima pada 2012 dan tujuh pada 2013, termasuk gelaran Siri Super Masters Akhir. Tahun ini, Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia, All England, Terbuka India serta Terbuka Jepun.
Begitupun apabila tiba kejohanan utama, dia sering kandas di peringkat paling genting. Pada Kejohanan Dunia 2011, dia tumpas kepada Lin Dan di final, pada Sukan Olimpik London 2012 dia kalah kepada musuh yang sama dalam perebutan pingat emas.
Malang Chong Wei berterusan pada Kejohanan Dunia 2013 apabila Lin Dan sekali lagi menyekat impiannya untuk bergelar juara dunia, sebelum kemuncak kegagalan jaguh No. 1 dunia itu hadir pada Kejohanan Dunia 2014 yang dianggap peluang terbaiknya untuk muncul juara kerana Lin Dan tidak beraksi.
Chong Wei tewas kepada rakan senegara Lin Dan, Chen Long dalam perlawanan akhir di Copenhagen bulan lalu.
Pemain kelahiran Perak itu juga sebelum ini dikecewakan oleh Lin Dan dalam pertarungan merebut emas pada Sukan Olimpik Beijing 2008. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_03/Chong-Wei-perlu-angin-baharu#ixzz3ElEe4H1g © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment