Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 22 September 2014

POLITIK : Semua 12 wakil rakyat BN junjung keputusan Sultan Selangor


MOHD. SHAMSUDIN

SHAH ALAM 19 Sept. - Kesemua 12 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri ini menegaskan akan menjunjung setiap titah serta keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pelantikan Menteri Besar negeri ini.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias berkata, penegasan itu merupakan pendirian sebulat suara yang telah diputuskan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor selaras dengan pengiktirafan mereka terhadap peranan serta bidang kuasa baginda dalam soal pelantikan jawatan berkenaan.

Katanya, meskipun BN merupakan pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, beliau menyatakan pihaknya tidak bersikap seperti pihak-pihak tertentu yang cuba mempersoalkan bidang kuasa baginda dalam melantik Menteri Besar apatah lagi memberikan fakta yang tidak tepat kepada rakyat sehingga mencemarkan imej institusi beraja negeri ini.

"Kita percaya keputusan yang dibuat oleh baginda (memilih dan melantik individu sebagai Menteri Besar) adalah bersandarkan kepentingan rakyat negeri ini yang mana ia turut berasaskan kepada peruntukan undang-undang yang telah termaktub di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

"Sesiapapun yang telah dipilih dan dilantik oleh baginda sebagai Menteri Besar Selangor sama ada individu itu datangnya dari wakil PKR (Parti Keadilan Rakyat) atau Pas, maka ia sewajarnya ditaati oleh semua pihak lebih-lebih lagi dari kalangan ADUN negeri ini sendiri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa ADUN Bukit Antarabangsa dan ADUN Chempaka masing-masing, Azmin Ali dan Iskandar Abdul Samad merupakan dua nama yang disebut-sebut tergolong dalam senarai pendek oleh istana Selangor untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mungkin dilantik mengisi jawatan tersebut selepas pencalonan tunggal Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail oleh PKR dan DAP sebelum ini ditolak, manakala Iskandar pula dilihat dari segi kelayakan beliau sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor selain menyandang jawatan Exco kerajaan negeri ketika ini.

Bagaimanapun, pengumuman mengenai nama Menteri Besar itu dijangka dibuat selewat-lewatnya pada Isnin ini sebelum upacara angkat sumpah di Istana Alam Shah, Klang diadakan secara rasmi pada 23 September ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shamsudin yang juga ADUN Sungai Burong turut berharap mana-mana pihak tidak sesekali mengheret istana dalam percaturan politik sehingga menyebabkan institusi itu terpalit dengan fitnah atau persepsi negatif.

Ingatan itu dibuat susulan kenyataan Sultan Selangor semalam yang menzahirkan teguran serta rasa dukacita baginda terhadap kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat berhubung amalan menghantar nama calon Menteri Besar kepada Sultan.

Teguran baginda itu dinyatakan menerusi kenyataan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang antara lain menasihatkan Anwar supaya tidak mengeluarkan kenyataan kononnya menghantar satu nama calon Menteri Besar kepada Sultan merupakan amalan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957 kerana fakta itu tidak tepat sama sekali dan mengelirukan rakyat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140920/po_16/Semua-12-wakil-rakyat-BN-junjung-keputusan-Sultan-Selangor#ixzz3E1TCoEIg © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: