PENYERANG Itali, Simone Zaza (dua dari kanan) diraikan oleh rakan-rakannya selepas dia menjaringkan gol pertama Itali dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 dengan Norway di Oslo semalam. - REUTERS
OSLO, Norway - Simone Zaza dan Leonardo Bonucci menemui sasaran ketika Itali mudah menewaskan Norway 2-0 dalam perlawanan pembukaan pusingan kelayakan Euro 2016 Kumpulan H di tempat lawan semalam.
Zaza yang tampil buat kali kedua dalam arena antarabangsa menjaringkan gol pembukaan selepas bola sepakannya terkena pemain lawan, dan Bonucci menanduk masuk gol kedua untuk memberikan kemenangan pertama buat jurulatih baharu skuad Azzurri, Antonio Conte.
Kemenangan tersebut amat bermakna buat Itali yang menyaksikan pasukan tuan rumah bermain dengan begitu bersemangat tetapi kurang berkesan di bahagian hadapan.
Kmenangan itu juga bermakna Itali kini tidak kalah dalam 41 perlawanan di peringkat kelayakan sejak lapan tahun lalu.
"Kami telah mencipta sesuatu yang hebat dalam tempoh sembilan hari ini," kata Conte.
Selepas mereka tewas 1-0 kepada Uruguay di bawah kendalian Cesare Prandelli, Conte membawa masuk enam muka baharu ke dalam pasukan, dengan penyerang kelab Sassuolo, Zaza menggantikan Mario Balotelli yang disingkir daripada pasukan.
Jaringan pemain berusia 23 tahun itu membuat penyokong tuan rumah di Stadium Ullevaal terkesima pada minit ke-16.
Umpanan daripada Mattia De Sciglio disambut dengan baik oleh Zaza dan apabila pertahanan lawan gagal mengasaknya, dia memasuki kotak penalti lawan untuk melepaskan tendangan kaki kiri dan bola terkena pemain Norway, Havard Nordtveit sebelum menewaskan penjaga gol Orjan Nyland.
Bagaimanapun Norway, yang cuba melayakkan diri ke kejohanan besar buat pertama kali sejak Euro 2000, memaksa pasukan pelawat berkubu untuk seketika.
Mereka hampir memecahkan kebuntuan apabila ketua pasukan Per Ciljan Skjelbred mengumpan kepada Joshua King namun tendangan pemain Blackburn Rovers itu melepasi palang gol.
Conte kemudian membuat perubahan yang membolehkan pasukan pelawat memperoleh jaringan kedua pada minit ke-62.
Bekas jurulatih Juventus itu menggantikan Matteo Darmian dengan Manuel Pasqual, dan pemain Fiorentina itu hanya memerlukan masa seminit untuk membuat hantaran lintang tepat dari sebelah kiri yang ditanduk masuk oleh Bonucci yang tidak dikawal. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140911/sl_04/Itali-menang-mudah-di-Oslo#ixzz3CyGz7wxG © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment