Oleh NORLIZAH ABAS dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my
ANGGOTA polis membawa tiga guru untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung kes kebocoran soalan UPSR di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 17 Sept. - Tiga lagi guru termasuk seorang wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kebocoran kertas soalan Sains dan Bahasa Inggeris Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.
Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan polis untuk menahan reman mereka yang berumur di antara 24 dan 36 tahun bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Dahlia Azmi mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Jumlah itu menjadikan seramai lapan individu termasuk seorang jurutera berusia 34 tahun dan seorang guru besar ditahan reman sejak Isnin lalu.
Jurutera lelaki itu yang bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak serta menetap di Kemaman, Terengganu direman selama empat hari bermula semalam.
Esok, tahanan reman empat hari bermula Isnin lalu terhadap tiga guru termasuk seorang guru besar dari Pulau Pinang dan seorang ejen insurans dari Sentul di ibu negara, selesai.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 iaitu kesalahan memiliki dan mendedahkan kepada umum bahan rasmi yang dikategorikan sebagai rahsia kerajaan secara salah.
Kesemua individu terbabit ditahan di beberapa tempat sekitar Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan ibu negara.
Polis turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik mereka bagi membantu siasatan.
Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.
Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.
Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Sementara itu, polis menahan seorang guru wanita di Labis, Johor dan seorang guru lelaki di Nilai, Negeri Sembilan lewat petang ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kedua-dua guru itu akan direman esok di Putrajaya.
Penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua yang ditahan bagi membantu siasatan kebocoran soalan UPSR meningkat kepada 12 orang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140918/ma_01/UPSR-3-guru-direman#ixzz3DdA8en00 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment