Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 29 September 2014

POLITIK : Pas hanya dapat 3 kerusi Exco

Oleh ABDUL YAZID ALIAS 
dan ZULKIFLI SAINUDDIN 
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 26 Sept. - Tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengurangkan kuota kerusi Exco Kerajaan Negeri daripada empat kerusi kepada tiga kerusi untuk Pas mengejutkan banyak pihak.

Malah tindakan itu dilihat tidak wajar memandangkan sebelum ini Pas diperuntukkan empat kerusi memandangkan parti itu bersama DAP menguasai kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu masing-masing 15 kerusi.

Selain itu, Pas juga merupakan parti yang bertanggungjawab mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap bertegas mahukan Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menduduki jawatan tersebut.

Bagaimanapun dalam pengumuman oleh Mohamed Azmin dalam sidang akhbar di sini, hari ini ternyata jasa Pas tersebut tidak menjadi perhitungan utama, sebaliknya biarpun mengekalkan formula 4:3:3, PKR yang mempunyai kerusi paling kurang dalam DUN iaitu 13 kerusi diberikan peruntukan empat kerusi Exco Kerajaan Negeri.

Pas dan DAP masing-masing diberikan peruntukan tiga kerusi Exco. Walaupun salah seorang ADUN Pas akan dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN bagi menggantikan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, namun ia tidak membawa apa-apa signifikan memandangkan jawatan itu tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri secara langsung.

Tiga ADUN Pas yang dilantik termasuklah dua Exco di bawah pentadbiran Abdul Khalid sebelum ini iaitu ADUN Cempaka, Iskandar Abdul Samad dan ADUN Sijangkang, Ahmad Yunus Hairi.

Selain Iskandar dan Ahmad Yunus, Mohamed Azmin turut memilih muka baharu iaitu ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib untuk mengisi satu lagi kekosongan sekali gus menyaksikan dua bekas exco daripada Pas sebelum ini iaitu ADUN Selat Klang, Dr. Halimah Ali dan ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi digugurkan daripada jawatan itu.

Bagi kuota PKR pula, Mohamed Azmin melantik semula ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi dalam barisan pentadbirannya selain melantik dua lagi muka baharu iaitu ADUN Batu Caves, Amirudin Shari serta Nik Nazmi yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, Menteri Besar itu turut melantik semula tiga Exco daripada DAP untuk memegang jawatan tersebut iaitu ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim; ADUN Sri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan ADUN Kota Alam Shah, V. Ganabatirau.

Mohamed Azmin ketika ditanya pemberita mengapa komposisi untuk Pas dikurangkan, beliau berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan perbincangan antara PKR, DAP dan Pas yang mengambil kira perkembangan terbaharu politik Selangor ketika ini.

"Itu (pengagihan komposisi jawatan Exco mengikut parti) adalah muafakat yang telah dicapai dalam perbincangan pakatan semalam," katanya.

Selain itu, beliau turut menafikan pengurangan kerusi itu mempunyai kaitan dengan tindakan Iskandar, Ahmad Yunus, Sallehen dan Halimah yang terus kekal memberikan sokongan kepada Abdul Khalid selain pendirian Pas menolak hasrat PKR melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin turut menyatakan buat masa ini beliau masih belum memuktamadkan pengagihan portfolio kepada Exco-Exco yang telah dilantik dan perkara itu akan dibincang serta dimuktamadkan bersama kepemimpinan pakatan pembangkang dijangka pada hujung minggu ini.

Sementara itu, bagi jawatan Speaker DUN, Mohamed Azmin menyatakan ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh terus kekal menduduki jawatan itu, namun bagi jawatan Timbalan Speaker, mungkin akan diisi daripada ADUN Pas.

"Kita akan bincang dengan Pas mengenai jawatan Timbalan Speaker DUN ini dan parti itu sendiri akan memutuskan siapa yang dirasakan layak untuk menduduki jawatan tersebut dan pelantikan akan dibuat dalam sidang DUN akan datang," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140927/po_02/Pas-hanya-dapat-3-kerusi-Exco#ixzz3EgU79jrB  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: