Oleh AZRAN FITRI RAHIM
utusankelantan@utusan.com.my
Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) bersalam dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor dekat Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, semalam. - MINGGUAN/Rosni Masri
TUMPAT 13 Sept. - Kementerian Pendidikan sudah ada petunjuk untuk mengenal pasti beberapa nama yang dikatakan telah membocorkan kertas soalan Bahasa Inggeris dan Sains bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengkhianat tersebut.
"Kita (Kementerian Pendidikan) sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan cepat dan segera.
"Saya sememangnya rasa dukacita dan kini kita serahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Biar pihak berkuasa ambil tindakan dan pada masa yang sama jawatankuasa bebas yang kita tubuhkan akan membuat beberapa cadangan bagi penambahbaikan UPSR," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, isu tersebut perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak bagi memastikannya tidak berulang.
"Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Idris Jusoh (Menteri Pendidikan II) tentang jawatankuasa bebas, kita nak jawatankuasa ini buat penilaian terperinci, termasuk cadangan menambah baik gerak kerja Lembaga Peperiksaan.
"Kita ambil pengalaman macam mana kita uruskan Sijil Pelajaran Malaysia yang dicetak di UK (United Kingdom)," katanya.
Katanya, beliau turut merasai kekecewaan calon UPSR dan ibu bapa mereka kerana cucu sulungnya juga terlibat dalam peperiksaan itu.
"Saya nasihatkan anak-anak jangan bimbang dan kita memahami apa yang mereka rasa.
"Saya sendiri pun merasa kecewa apatah lagi cucu sulung saya yang bernama Suraya turut mengambil UPSR," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140914/dn_02/Dapat-petunjuk---Muhyiddin#ixzz3DXqJ8yot © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment