BERKONGSI KEMANISAN... Josiah Ng berkongsi kegembiraan bersama isterinya Kim Ong Suan selepas meraih pingat gangsa Sukan Asia menerusi acara keirin lelaki di Velodrom Antarabangsa Incheon semalam. - BERNAMA
INCHEON - Pelumba berbasikal trek negara, Josiah Ng menganggap pingat gangsa yang dimenangi dalam acara akhir keirin individu di Sukan Asia semalam diraih penuh emosi dan kontroversi.
Josiah yang meraih pingat itu selepas kemenangan tempat kedua rakan senegara Mohd. Azizulhasni Awang dibatalkan berkata, nasib tidak menyebelahinya untuk mendapatkan keputusan lebih baik dalam saingan akhir tersebut.
Katanya, dia telah cuba sedaya upaya untuk membantu Azizulhani berada di kedudukan terbaik namun cabaran diberikan oleh dua pelumba Jepun menyebabkan mereka terpaksa berpecah hingga ke garisan penamat.
"Pada perlumbaan tersebut cabaran berlaku antara kami (Malaysia) dengan pelumba dari Jepun namun apabila tiba di garisan penamat pelumba Iran memintas kedudukan kami.
"Inilah yang berlaku dalam perlumbaan apabila anda sedang bersaing akan ada pelumba lain yang mengambil kesempatan memintas kerana tidak diawasi dengan baik," katanya.
Dia seterusnya mengumumkan ini adalah penyertaan terakhirnya dalam Sukan Asia kerana memikirkan faktor usianya.
"Saya kini tidak lagi berada pada prestasi terbaik iaitu sebelum saya mengalami kemalangan dan apa yang saya pamerkan ketika ini tidak mencapai tahap tertinggi saya.
"Selepas ini saya mahu berehat dan bercuti bersama keluarga sebelum kembali menyertai latihan bersama skuad kebangsaan di Melbourne," katanya. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140926/su_03/Kesal-tak-dapat-bantu-Azizul#ixzz3EP5rBT3x © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment