KETUA pasukan skuad negara, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak melompat tinggi untuk menanduk bola ke gawang lawan bagi menjaringkan gol pertama dalam perlawanan menentang Laos di Incheon, Korea Selatan semalam. Malaysia menang 4-0.
INCHEON - Skuad bola sepak bawah 23 tahun negara menebus kekalahan kepada Korea Selatan Ahad lalu dengan membenam Laos 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Ansan Wa, di sini semalam. Keputusan itu sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk ke pusingan kedua acara bola sepak lelaki Sukan Asia.
Selepas ini skuad Datuk Ong Kim Swee itu perlu memanfaatkan tiga mata yang diraih daripada perlawanan ini untuk terus mendapatkan kemenangan ketika menentang Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Ahad andai mahu melangkah ke pusingan kedua.
Kim Swee berkata, pasukannya telah melaksanakan tugas dengan baik terutama selepas mendahului pada separuh masa pertama.
"Saya tahu pemain sedar keputusan 1-0 pada separuh masa pertama tidak selamat untuk pasukan dan mereka akhirnya berupaya menambah lebih banyak gol pada separuh masa kedua.
"Selepas ini saya percaya perlawanan menentang Arab Saudi akan berlangsung lebih sengit kerana masing-masing mahu mendapatkan tempat ke pusingan kedua," katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut Malaysia beraksi kemas, terutama dalam 10 minit pertama dalam usaha mendapatkan jaringan dan mendahului 1-0 pada minit ke-12 menerusi tandukan ketua pasukan Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak yang memanfaatkan dengan baik sepakan bebas Mohamad Fandi Othman.
Bermula babak kedua perlawanan menyaksikan Malaysia bekerja lebih keras untuk menembusi pertahanan Laos yang cuba menutup ruang, tetapi kesabaran jentera serangan skuad negara mendatangkan hasil apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh masa lapan minit.
Gol kedua dijaringkan oleh penyerang, Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-76 selepas mendapat hantaran daripada gerakan menarik Gary Steven Robbat di dalam kawasan gol.
Dua lagi gol Harimau Muda dijaringkan oleh Mohamad Fandi pada minit ke-79 manakala penyerang, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir meledak gol keempat pada minit ke-83.
Sementara itu, jurulatih Laos, David Booth mengakui amat kecewa dengan aksi pasukannya terutama pada 15 minit terakhir perlawanan.
"Saya menjangkakan selepas ketinggalan 0-1 Laos mampu bangkit namun sebaliknya berlaku.
"Kami menyertai pertandingan ini sebagai pasukan kecil dan nasib tidak menyebelahi pasukan kami kerana tewas dalam dua aksi peringkat kumpulan," kata Booth.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140918/su_01/Malaysia-hidup-peluang#ixzz3DdBIGnJB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment