PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Nicol David dan rakan senegara, Low Wee Wern kelihatan tersenyum gembira selepas kedua-duanya berjaya melangkah ke perlawanan akhir untuk merakam pertemuan sesama sendiri dalam acara skuasy wanita Sukan Asia di gelanggang Skuasy Yeorumul, Incheon, Korea Selatan, semalam. - AFP
INCHEON - Skuasy melunaskan janji awal mereka untuk menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Sukan Asia XVII apabila pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol David dan Low Wee Wern menempah pertemuan sesama sendiri dalam perlawanan akhir perseorangan wanita, hari ini.
Ini adalah kali pertama pemain Malaysia bertemu sesama sendiri pada pentas akhir perseorangan wanita, sekali gus memberi isyarat positif bahawa misi untuk memburu satu lagi emas dalam acara berpasukan berada di landasan sempurna.
Bagaimanapun pada ketika pemain wanita memberi keceriaan di Pusat Skuasy Yeorumul, khabar kurang menggembirakan hadir dalam saingan perseorangan lelaki apabila Ong Beng Hee tersingkir pada separuh akhir, sekali gus menamatkan penguasaan Malaysia dalam acara tersebut sejak 2002.
Beng Hee, 34, yang turun dengan reputasi sebagai juara 2002 dan 2006 terpaksa akur kudratnya tidak mampu lagi menyaingi bintang India, Saurav Ghosal, yang enam tahun lebih muda daripadanya apabila tumpas 9-11, 4-11, 5-11.
Kegagalan Malaysia mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki, bagaimanapun ditebus oleh kejayaan Nicol dan Wee Wern bagi mengesahkan emas kedua Malaysia di Incheon.
Nicol, 31, pemilik empat pingat emas Sukan Asia menjadi pilihan untuk merangkul kejuaraan perseorangan buat kali keempat selepas mudah menundukkan Dipika Pallikal 11-4, 11-4, 11-5 pada separuh akhir semalam.
Wee Wern juga bersemangat untuk mencabar idolanya itu dalam final, hari ini selepas mempamer aksi meyakinkan ketika menyingkirkan bintang veteran Hong Kong, Annie Au 11-9, 11-5, 11-5 dalam satu lagi separuh akhir.
"Saya amat gembira berjaya berada di pentas untuk merebut pingat emas, esok. Saya tidak sabar untuk menantikan pertemuan dengan Wee Wern, ia pasti menarik," kata Nicol.
Pemain No. 7 dunia, Wee Wern pula menganggap Nicol adalah idolanya dan peluang berdepan rakan sepasukan itu dalam pentas akhir, hari ini adalah pengalaman yang mengujakan.
"Saya sentiasa menantikan pertemuan dengan Nicol kerana dia adalah idola saya. Ini adalah pengalaman yang sama sekali baharu," kata pemain No. 7 dunia itu.
Sementara itu, perlawanan akhir perseorangan lelaki kini akan menemukan Saurav dan pemain Kuwait, Abdullah Almezayen yang mengejutkan pilihan kedua dari Hong Kong, Max Lee 6-11, 11-8, 4-11, 11-6, 11-8. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140923/su_01/Emas-kedua-dalam-tangan#ixzz3E6VV9uRX © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment