Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 29 September 2014

SUKAN ASIA 2014 : Seluar rakan perempuan bawa tuah


Tan Wee Kiong (kiri) dan Goh V Shem diarahkan supaya menukar seluar mereka oleh pengadil sebelum mereka menewaskan Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo di suku akhir acara badminton beregu Sukan Asia di Incheon semalam.

INCHEON - Walaupun melalui pengalaman paling pelik dalam karier mereka apabila terpaksa memakai seluar pemain wanita ketika beraksi, itu tidak menghalang Goh V Shem-Tan Wee Kiong melakar kejutan pada Sukan Asia XVII apabila menyingkirkan pilihan ketiga Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo untuk melangkah ke separuh akhir badminton beregu lelaki semalam.

V Shem-Wee Kiong nyaris terpaksa memberi kemenangan percuma kepada Kenichi-Hiroyuki apabila pengadil mengarahkan mereka menukar pakaian kerana warna baju serta seluar yang dipakai sama dengan warna biru gelap pakaian pemain Jepun.

Selepas perlawanan tertangguh sebentar, pasangan negara kembali ke gelanggang dengan memakai seluar hitam yang dipinjam dari rakan sepasukan wanita. Insiden tersebut bagaimanapun tidak menganggu fokus V Shem-Wee Kiong, sebaliknya mereka mencatat kemenangan selesa 21-16, 21-16.

Di bawah peraturan badminton, pemain yang memiliki ranking lebih tinggi dibenarkan untuk memilih warna baju untuk dipakai dalam perlawanan.

"Kami terpaksa meminjam seluar daripada dua rakan wanita kerana pengadil tidak membenarkan kami meneruskan perlawanan selagi tidak menukar pakaian.

"Kami telah menghantar baju kuning ke dobi semalam dan saya tidak membawa baju. Saya tidak tahu pengadil begitu tegas.

"Selepas puas memberi penjelasan kepada pengadil, dia membenarkan kami menggunakan baju biru tetapi menyuruh kami menukar seluar. Kami bagaimanapun masih perlu mengemukakan laporan selepas tamat perlawanan," cerita Wee Kiong.

Kejayaan ke separuh akhir mengesahkan sekurang-kurangnya gangsa dalam genggaman, namun V Shem-Wee Kiong bertekad mendapatkan pingat lebih bernilai dengan melakar kejutan besar ke atas pilihan utama dari Korea Selatan, Lee Yong-Dae-Yoo Yeon-Seong hari ini.

Layak ke separuh akhir Sukan Asia merupakan pencapaian baik buat V Shem-Wee Kiong, yang mula digandingkan pada Piala Thomas Mei lalu. Kejayaan itu hadir tidak sampai sebulan selepas mereka muncul juara Sukan Komanwel.

Pasangan muda itu dianggap jelmaan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang merangkul pingat emas beregu lelaki pada Sukan Asia Doha 2006, tiga bulan selepas digandingkan.

Sementara itu langkah cemerlang Vivian Hoo-Woon Khe Wei tersangkut di separuh akhir apabila tumpas 16-21, 17-21 kepada pilihan utama dari Jepun, Ayaka Takahashi-Misaki Matsutomo. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140927/su_03/Seluar-rakan-perempuan-bawa-tuah#ixzz3EgdmQu7L  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: