Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 29 September 2014

POLITIK : DAP, PKR buli Pas

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

NIK ABDUH

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Seorang pemimpin Pas hari ini secara terbuka mengakui parti itu kini menjadi mangsa buli sekutunya dalam pakatan pembangkang selain terdapat usaha membakar sentimen masyarakat dan penyokong mereka supaya membenci Pas.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, keadaan itu menyebabkan Pas seolah-olah berada dalam keadaan serba tidak kena dan kelihatan seperti sukar untuk menentukan pegangannya.

"Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mula nak buli Pas. Sehinggakan Pas kelihatannya sekarang seperti terpinga-pinga tak tahu nak sentuh yang mana satu. Semua macam tak menjadi.

"Masih dalam Pakatan Rakyat pun, mereka membakar masyarakat dan penyokong pakatan pembangkang agar membenci Pas. Pas ini tak berapa 'ganas' mana agaknya. Dibuli pun dia buat muka selamba sahaja. Melawan pun macam tak melawan mana.. Itulah Pas, seperti orang miskin hidupnya, sentiasa menjadi mangsa buli,'' katanya menerusi entri bertajuk 'Pas dan Kisah Buli' di Facebook beliau hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada situasi terbaharu Pas dalam tahaluf siyasinya bersama PKR dan DAP termasuk melibatkan isu pengurangan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor serta penyingkiran Bendahari Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Nik Mohamad Abduh berkata, terdapat pemimpin DAP yang mengatakan bahawa Pas akan dihukum rakyat berikutan isu di Selangor yang kelihatan belum berakhir meskipun pelantikan Menteri Besar baharu negeri itu sudah dilakukan.

Katanya, Pas dikatakan akan tamat riwayatnya di Selangor dan di negara ini manakala di Sarawak pula DAP begitu beria-ia mengisytiharkan tidak lagi mahu berkawan dengan parti berkenaan.

Beliau turut membidas sekutunya itu yang begitu gembira dan megah apabila mendapat kuasa selepas sekian lama menjadi pembangkang.

"Maklumlah, lama jadi pembangkang bersama Pas, baru penggal lepas DAP mula dapat kuasa memerintah sedangkan Pas yang hidupnya sering dibuli sudah lama berkuasa di Kelantan dan Terengganu. Diungkit-ungkit kisah kegagalan Pas sampai lupa pula kisah kejayaan dan kebaikan Pas di samping kegagalan mereka sendiri," ujar beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut berkata, meskipun PKR juga mahu membuli Pas namun kesannya paling tidak menjadi ekoran dalaman parti rakan politiknya itu yang tidak kuat seperti DAP.

"PKR pun nak buli Pas macam DAP juga. Sambil mencuri sambil membuli. Nasib baik dalaman PKR tak berapa kuat macam DAP. Ada masam muka di antara sesama mereka. Maka bulian mereka, walaupun pedih juga, tapi paling tak menjadi," katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan DAP agar jangan suka membuli kerana ia boleh mendatangkan sikap yang akan membuat rakyat menjadi marah.

Nik Mohamad Abduh turut mengingatkan DAP bahawa Pas tidak akan terkubur kerana nyawa dan ideologinya adalah Islam bahkan sehingga kini belum kelihatan pengganti yang sesuai untuk meneruskan perjuangan parti itu termasuk Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Tegasnya, menjadi satu kerugian besar kepada pakatan pembangkang seandainya DAP yang menyokong PKR terus membuli Pas.

"Mungkin susah DAP nak terima. Tetapi pada saya, bila tiba-tiba Pas tukar angin, tiba-tiba Pas marah pada DAP, saat itu DAP akan rugi. DAP akan rugi lama. Mungkin undi Cina dan India akan bertukar. Mereka jadi cuak dengan DAP. Mereka rakyat yang mahukan keamanan, kebenaran dan setiakawan dalam kehidupan. Itu pandangan saya. DAP akan rugi lama jika Pas marahkan DAP," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140929/po_01/DAP-PKR-buli-Pas#ixzz3EfkkF21r
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: