PELUMBA negara, Fatehah Mustapa menceriakan kem berbasikal negara setelah meraih pingat perak dalam acara keirin wanita pada Sukan Asia di Velodrom Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, semalam. - AFP
INCHEON - Pelumba basikal negara, Fatehah Mustapa menceriakan suasana di Velodrom Antarabangsa Incheon apabila menjadi penyumbang pingat kedua buat kontinjen Malaysia setelah meraih pingat perak dalam acara keirin indvidu wanita pada Sukan Asia, semalam.
Setelah gagal membutirkan sebarang kilauan pingat pada hari pertama kelmarin, anak kelahiran Terengganu itu menjadi penyuntik semangat buat rakan sepasukannya yang lain untuk mempamerkan aksi yang lebih cemerlang bagi merealisasikan harapan emas pada temasya kali ke-17 itu.
Malah, apa yang lebih manis lagi, pingat perak yang diraih Fatehah itu adalah yang pertama buatnya dalam penyertaan Sukan Asia.
Pingat emas acara keirin itu dimenangi oleh pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze, manakala Zhong Tianshi dari China sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa.
Setakat ini, Malaysia sudah pun meraih dua pingat iaitu satu emas menerusi atlet wusyu, Tai Cheau Xuen, kelmarin dan perak pula dijelmakan oleh Fatehah.
Ketika ditemui pemberita Fatehah berkata, meraih pingat perak dalam acara keirin sudah cukup memadai kerana dia sedar ramai jaguh utama dunia turut menyertai temasya kali ini.
"Saya harap pingat perak yang saya raih ini dapat menjadi pembakar semangat buat kem basikal negara untuk meraih pingat emas selepas ini.
"Ini juga adalah persembahan terbaik yang mampu saya berikan dan saya juga mahu hadiahkan pingat ini kepada semua rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan, di sini semalam.
Mengulas mengenai saingan yang diterimanya dalam acara tersebut, Fatehah memberitahu, dua cuba untuk memintas Wai Sze pada pusingan terakhir, namun tidak berupaya melakukannya kerana pelumba tersebut terlalu pantas.
Dalam perlumbaan itu jarak antara Fatehah dengan pemenang pingat emas, Wai Sze hanya dibezakan setengah tayar sahaja di garisan penamat.
"Dia (Wai Sze) sangat laju dan saya tidak berani mengambil risiko dengan memintasnya dari arah atas kerana laluan selekoh terlalu panjang.
"Ini adalah rezeki saya untuk hari ini (semalam), saya bersyukur dengan apa yang dicapai tambahan pula acara keirin sukar untuk di jangka," kata Fatehah. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140922/su_01/Perak-untuk-Fatehah#ixzz3E6JWpdJT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment