Woon Khee Wei (kiri) membalas pukulan sambil diperhatikan oleh Vivian Khoo ketika menentang pasangan Taiwan pada sebelah pagi semalam sebelum mengejutkan Yu Yang-Wang Xioli dalam perlawanan sebelah petang untuk mara ke suku akhir. - AFP
INCHEON - Tidak sampai sebulan selepas membawa pulang pingat emas dari Sukan Komanwel, Vivian Khoo-Woon Khe Wei mengintai untuk melakar sejarah muncul beregu wanita pertama negara meraih pingat Sukan Asia dalam tempoh 44 tahun selepas mengejutkan bekas juara dunia, Yu Yang-Wang Xiaoli untuk mara ke suku akhir semalam.
Vivian-Khe Wei tidak diberi harapan ketika turun ke gelanggang di Gimnasium Gyeyang kerana lawan yang ditentang adalah juara dunia 2013 dan naib juara tahun ini, namun pasangan No. 19 dunia itu mengetepikan rasa gemuruh untuk mencatat kemenangan 17-21, 21-11, 22-20 dalam masa 55 minit.
Juara Sukan SEA 2013 itu memiliki peluang yang baik untuk mencari tiket ke separuh akhir kerana lawan yang bakal ditentang hari ini adalah gandingan Macau, Wang Rong-Zhang Zhibo yang mengejutkan pilihan keempat, Chang Yena-Kim Soyeong dari Korea Selatan 21-17, 21-18.
Jika Vivian-Khe Wei melangkah ke separuh akhir, bermakna gangsa sudah dalam genggaman dan itu tetap menjadi satu sejarah buat badminton wanita negara.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam beregu wanita pada Sukan Asia adalah menerusi Rosalind Ang-Teoh Siew Yong di Bangkok 1970. Gangsa pertama acara berkenaan pula diraih Tan Gaik Bee-Ng Mei Ling di Jakarta 1962.
"Ini adalah kali pertama saya menewaskan pasangan utama dunia dalam mana-mana kejohanan. Ini memang mengujakan tetapi kami tidak mahu terlalu terbawa-bawa kerana persaingan masih di peringkat awal.
"Hari ini, saya rasa pasangan China bermain di bawah tekanan dan melakukan banyak kesilapan, sedangkan kami lebih sabar dan melakukan serangan," kata Vivian, yang tewas 12-21, 17-21 kepada Yu Yang-Wang Xiaoli pada Terbuka Hong Kong 2012.
Vivian-Khe Wei pernah mengalahkan beregu No. 97 dunia, Rong-Zhibo 21-17, 21-18 dalam satu-satunya pertemuan mereka di Terbuka Macau pada 2011.
"Berjumpa pasangan Macau sudah tentu lebih bagus daripada menentang beregu Korea, tetapi kita tidak boleh cakap ia adalah perlawanan yang mudah. Mereka telah menewaskan pasangan Korea, itu bermakna mereka bermain dengan bagus," ujar Vivian lagi.
Satu lagi beregu negara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho bagaimanapun gagal meneruskan cabaran selepas kalah 27-29, 16-21 kepada pasangan Thailand, Sapsiree Taerattanachai-Puttita Supajirakul.
Cabaran perseorangan wanita, Tee Jing Yi juga berakhir selepas kalah 14-21, 16-21 kepada Akane Yamaguchi, manakala Yang Li Lian melangkah ke pusingan kedua selepas Maisa Fathuhulla Ismail dari Maldives menarik diri. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140925/su_02/Vivian-Khe-Wei-nak-pecah-badi-44-tahun#ixzz3EI113W8o © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment