Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday 17 September 2014

Hakim perlu ada keberanian moral capai keputusan tidak popular - Arifin

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

ARIFIN Zakaria (depan, lima dari kiri) bersama 15 hakim yang baharu dilantik dalam Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/RASHID MAHFOF


PUTRAJAYA 12 Sept. - Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menegaskan, para hakim perlu mempunyai keberanian moral untuk mencapai keputusan yang tidak popular dalam kalangan ahli politik, pihak media atau orang awam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tiada sebarang arahan dikeluarkan supaya hakim-hakim bersetuju dengan keputusan majoriti yang dicapai oleh panel bersidang dalam kes sivil atau jenayah.

Ujar Ketua Hakim Negara, kritikan sering dilemparkan kepada badan kehakiman jika keputusan yang diumumkan tidak memihak kepada pihak-pihak tertentu,sekali gus mempersoalkan prinsip kebebasan kehakiman.

Sehubungan itu, Arifin berkata, para hakim tidak perlu gentar atau gusar terhadap pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak popular jika alasan penghakiman yang disediakan adalah jelas dan lengkap berdasarkan kepada nas undang-undang yang mantap.

Selain itu, beliau berpendapat, alasan-alasan penghakiman harus ditulis secara jelas dengan bahasa yang mudah difahami terutama oleh pihak-pihak yang tidak diwakili oleh peguam.

Beliau menjelaskan, alasan penghakiman itu wajar memberi penekanan kepada pihak yang kalah kerana secara logiknya mereka lebih berhak diberi penjelasan mengapa keputusan tidak memihak kepada mereka, bukan pihak yang menang.

"Ini merupakan manifestasi amalan kebebasan kehakiman yang dipelihara selama ini ketika melaksanakan tugas," ujar beliau sewaktu berucap pada upacara angkat sumpah jawatan dan taat setia 15 pegawai kehakiman di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan, tujuh hakim Mahkamah Rayuan dan tujuh hakim Mahkamah Tinggi.Mendahului senarai ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azahar Mohamed yang dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan yang baharu terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Tan Sri Idrus Harun, Datuk P. Nallini, Dr. Badariah Sahamid, Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Dr. Prasad Sandosham Abraham.

Sementara itu, seramai tujuh pesuruhjaya kehakiman disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Wira Kamaludin Md. Said, Datuk Ahmad Nasfy Yasin, Teo Say Eng, Rosilah Yop, Hashim Hamzah dan Datin Azizah Nawawi.

Turut hadir, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Dalam ucapannya, Arifin turut menyatakan, pelantikan tersebut berdasarkan pencapaian prestasi, pengalaman dan pengetahuan undang-undang serta kemampuan menghasilkan penghakiman yang berkualiti dan mantap.

Beliau turut menegaskan, merit kekal sebagai kriteria utama dalam pelantikan hakim atau mereka berisiko untuk melemahkan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman dan komitmen terhadap undang-undang.

Ujar Ketua Hakim Negara, para hakim dikehendaki mengetahui dan melaksanakan undang-undang dan mampu menghasilkan keputusan dengan pantas tanpa kompromi terhadap mutu keadilan.

Dalam ucapannya, Arifin turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana masih terdapat segelintir hakim yang tidak mematuhi Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2008 yang menghendaki keputusan kes diberikan dalam masa tidak melebihi empat minggu dan alasan penghakiman perlu disediakan dalam tempoh lapan minggu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_26/Hakim-perlu-ada-keberanian-moral-capai-keputusan-tidak-popular---Arifin#ixzz3DXmAlL9H  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: