KHAIRUL Anuar Mohamad membuat panahan sambil diperhatikan oleh Atiq Bazil Bakri (kiri) dan Haziq Kamaruddin ketika menentang China dalam perlawanan akhir acara recurve berpasukan di Lapangan Memanah Gyeyang Asiad, Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Skuad memanah negara mengukir sejarah tersendiri di bumi Korea Selatan biarpun sekadar meraih pingat perak dalam acara akhir recurve berpasukan lelaki di Padang Memanah Gyeyang Asiad, semalam.
Pingat perak tersebut adalah yang pertama diraih skuad memanah sejak mula menyertai Sukan Asia pada 2006 di Doha dan pencapaian terbaik sebelum ini adalah melangkah ke saingan suku akhir temasya sama empat tahun lalu.
Pada saingan akhir itu, Malaysia yang diwakili trio Atiq Bazli Bakri, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad tewas 0-6 kepada China yang memenangi pingat emas manakala gangsa milik Korea Selatan.
Menurut Khairul Anuar, pasukan China terlalu hebat untuk ditundukkan dan mereka berpuas hati dengan pencapaian pingat perak, tambahan pula berupaya mengatasai sasaran separuh akhir.
"Ini adalah bukti peningkatan kami dari semasa ke semasa dan saya berpendapat pengalaman banyak membantu saya dan pasukan ini mencapai kejayaan.
"Secara keseluruhannya sepanjang saingan hari ini (semalam) kami telah beraksi dengan baik dan mempraktikkan semua yang telah dirancang sewaktu latihan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas tamat saingan akhir di sini semalam.
Pada perlawanan akhir tersebut, trio Malaysia gagal untuk mendapatkan dua mata penuh dalam semua tiga set perlawanan kerana tidak dapat mengatasi skor diraih China.
Dalam set pertama trio negara hanya dapat mengumpul 54 mata, 53 pada set kedua dan 57 skor di set ketiga.
Sementara China tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan skor yang tinggi sewaktu set pertama hingga ketiga iaitu 57, 57 dan 58. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140929/su_02/Memanah-recurve-raih-perak-akur-kepada-China#ixzz3Eg61nDYy © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment