Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
Idris Jusoh menunjukkan plastik pembalut kertas soalan pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam. Turut bersama beliau Misrah Ibrahim (kiri) dan Dr. Na' imah Ishak. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 12 Sept. - Empat lokasi panas termasuk beberapa individu telah dikenal pasti oleh pasukan penyiasat yang terlibat dengan siasatan isu kebocoran kertas soalan mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun ini.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, maklumat itu diperoleh selepas pasukan penyiasat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pendidikan memulakan siasatan berhubung kes tersebut sejak semalam.
Beliau berkata, siasatan rapi dan terperinci akan terus dilakukan sehingga pengkhianat-pengkhianat itu diberkas dan kemudian dibawa ke muka pengadilan ekoran tindakan tidak amanah mereka yang menyebabkan 473,175 calon UPSR dan hampir sejuta ibu bapa terjejas.
"Kementerian memandang serius apa yang berlaku ini dan kita akan meneruskan kerjasama dengan pihak polis dan SKMM untuk menahan pengkhianat-pengkhianat ini bagi tujuan membawa mereka ke muka pengadilan atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
"Sekiranya sabit kesalahan pengkhianat-pengkhianat yang terbukti membocorkan dua kertas soalan berkenaan wajar menerima hukuman peringkat paling maksimum," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Misrah Ibrahim dan Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak.
Selain melibatkan jumlah pelajar sebanyak 473,175 orang, UPSR tahun ini turut membabitkan 51,438 petugas 8,299 pusat peperiksaan dan 382 bilik kebal.
Dalam perkembangan berkaitan Idris berkata, pasukan penyiasat akan terus menyenarai pendek mana-mana pihak yang disyaki terlibat di dalam kes tersebut sepanjang siasatan dijalankan.
Ketika ditanya sama ada 'orang dalam' terlibat di dalam kes tersebut memandangkan prosedur operasi standard (SOP) UPSR amat ketat, Idris berkata, perkara itu belum dapat dipastikan apatah lagi kes itu masih di peringkat siasatan.
"Walau apa pun kita tetap berdukacita dengan apa yang berlaku. Disebabkan terdapat satu atau dua orang mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, kepentingan 473,175 calon-calon UPSR terjejas. Hampir sejuta ibu bapa turut menerima nasib yang sama.
"Tidak kira siapa yang melakukan perbuatan ini mereka perlu menerima hukuman yang setimpal," katanya.
Dalam pada itu Idris berkata, pihak kementerian amat bersimpati dengan kesemua calon UPSR kerana terpaksa mengambil semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini selepas kedua-dua kertas soalan asal terpaksa dibatalkan oleh Lembaga Peperiksaan.
"Saya amat berharap guru-guru kaunseling bersiap sedia sekiranya terdapat pelajar-pelajar kita ini memerlukan nasihat atau kaunseling daripada mereka.
"Sekali lagi saya bagi pihak kementerian memohon maaf kepada semua pelajar dan hampir satu juta ibu bapa ekoran kes ini yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140913/dn_01/Hukuman-maksimum-wajar#ixzz3DXdYZTLc © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment