ATLET wusyu negara, Ng Shin Yii (duduk, kiri) sekadar meraih tempat keenam setelah melakukan kesilapan kecil dalam acara taijijian pada Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan, semalam. - UTUSAN
INCHEON - Hanya kesilapan kecil daripada Ng Shin Yii yang mengalihkan kaki kirinya, menyebabkan dia dipotong 0.2 mata dalam acara taijijian, sekali gus memusnahkan hajat wusyu untuk meraih pingat kedua pada Sukan Asia XVII di Gimnasium Ganghwa Dolmens, semalam.
Shin Yii menjadi sandaran Malaysia untuk meraih pingat dalam acara kombinasi taijijian dan taijiquan wanita, tetapi kesilapan yang dilakukan pada sebelah pagi menyebabkan dia terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tangga keenam dengan 19.16 mata.
Membuat penampilan ketiga pada Sukan Asia, atlet berusia 25 tahun itu mengutip 9.53 mata dalam saingan taijijian, sebelum mempamer persembahan lebih baik dalam acara taijiquan di sebelah petang untuk meraih 9.63 mata.
Namun, kebangkitan yang cuba dilakukan sudah terlalu lewat untuk membantunya menaiki podium buat kali kedua selepas meraih gangsa di Temasya Doha, lapan tahun lalu.
Chai Fong Ying menghadiahkan pingat emas buat Malaysia acara tersebut dalam dua temasya berturut-turut, di Doha dan Guangzhou 2010.
Atlet China, Yu Mengmeng muncul juara baharu dengan merangkul emas menerusi 19.50 mata, meninggalkan Lindswell Kwok dari Indonesia memenangi perak (19.37 mata), manakala peserta Jepun, Uchida Ai membawa pulang gangsa (19.31 mata).
"Saya kehilangan mata hanya kerana mengalihkan kaki sedikit ketika membuat pendaratan. Ia terpulang kepada juri sama ada mahu memotong mata atau tidak, sebagai peserta saya hanya mampu melakukan persembahan," kata Shin Yii.
Ho Mun Hua juga gagal memenuhi harapan wusyu untuk menambah pingat dalam nanquan dan nangun lelaki biarpun turun dengan reputasi selaku pemenang pingat emas Kejohanan Dunia di Kuala Lumpur, tahun lalu. Dia hanya mampu menamatkan cabaran di tangga ketujuh dengan kombinasi mata 19.24.
Peserta China, Wang Di mengungguli saingan dengan 19.55 mata, menewaskan Huang Junhua dari Macau dengan pingat perak (19.30 mata), sementara gangsa milik atlet Taiwan, Hsu Kai-kuei (19.29 mata). - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140923/su_05/Sedikit-kesilapan-hukum-Shin-Yi#ixzz3E6bB4LtE © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment