Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Tuesday 23 September 2014

UPSR : Ujian semula 9 Oktober ini

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Khair Mohamad Yusof dan Madinah Mohamad sewaktu sidang akhbar mengenai kes kebocoran kertas Matematik dan Bahasa Tamil bagi UPSR 2014 di Kementerian Pendidikan Malaysia,Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 22 Sept. - Kementerian Pendidikan hari ini mengesahkan kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diambil pada 10 September lalu dibatalkan selepas disahkan berlaku kebocoran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, berikutan itu semua murid terbabit perlu menduduki semula kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil pada 9 Oktober depan.

Beliau berkata, langkah melaksanakan semula ujian tersebut terpaksa dilakukan bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di samping menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR.

"Semalam Lembaga Peperiksaan mengesahkan kertas ujian Matematik 015/1 (Sekolah Kebangsaan), 025/1 (sekolah jenis kebangsaan Cina), 035/1 (sekolah jenis kebangsaan Tamil), Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR 2014 telah didapati bocor.

"Sehubungan itu, pihak Lembaga Peperiksaan telah memaklumkan bahawa semua kertas terbabit dibatalkan dan tarikh baharu ujian ditetapkan pada 9 Oktober ini setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik seperti percetakan dan pengedaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas mengenai pembatalan kertas mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil UPSR 2014 di Bangunan Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pegawai Lembaga Peperiksaan yang mendakwa kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil juga bocor selepas insiden sama berlaku terhadap kertas Bahasa Inggeris dan Sains.

Menurut Khair, sebagai langkah serta-merta pihaknya juga sedang mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai di Lembaga Peperiksaan bagi memantapkan pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam.

Sementara itu, beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak berikutan insiden kebocoran empat kertas UPSR tersebut.

Khair berkata, beliau amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terlibat.

Katanya, arahan juga telah dikeluarkan kepada semua guru besar dan guru untuk mengenal pasti serta memberi khidmat kaunseling kepada murid yang memerlukan.

"Selaku Ketua Pengarah Pelajaran, saya memohon maaf kepada murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden ini.

"Dengan ini saya telah pun mengambil alih pengawasan seluruh proses pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September lalu," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_06/Ujian-semula-9-Oktober-ini#ixzz3E6jkmI7H  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: