Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Wednesday, 17 September 2014

UPSR: Empat guru ditahan

Oleh AZRAI MOHAMMAD dan TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

Sebahagian calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah terdiri daripada murid Orang Asli berada di luar kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Mas, Sungai Lembing, Kuantan, selepas peperiksaan itu dibatalkan baru-baru ini. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Siasatan polis dalam mencari dalang yang membocorkan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menunjukkan perkembangan positif apabila Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur hari ini menahan empat guru termasuk seorang wanita di Pulau Pinang dan Perak.

Kesemua suspek yang berusia di antara 30 hingga 54 tahun itu masing-masing ditahan dalam serbuan yang bermula pukul 3.30 petang.

Ketua JSJ Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, tiga daripada guru terbabit ditahan di Pulau Pinang dan seorang lagi ditahan di Parit Buntar, Perak.

"Kita turut merampas beberapa gajet telekomunikasi milik keempat-empat suspek bagi membantu siasatan. Kesemua suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, polis turut mengambil keterangan tiga lagi individu untuk membantu siasatan kes yang sama.

Katanya, jumlah itu menjadikan individu yang telah diambil keterangan setakat ini bertambah kepada 10 orang.

Ujar beliau, kesemua tiga individu terbabit bertugas sebagai guru dan tujuh lagi individu yang telah diambil keterangan sebelum ini ialah enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta seorang wartawan.

Tambahnya, polis kini giat mengumpul keterangan serta meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melihat bagaimana kebocoran tersebut boleh berlaku.

"Sehubungan itu, saya meminta kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Kong Meng memberitahu, dua daripada guru yang ditahan itu telah dibebaskan dengan jaminan selepas kenyataan mereka dirakamkan malam ini.

Katanya, sekiranya siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam masa 24 jam, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap dua guru lagi esok.

Pada 10 September lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan peperiksaan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 UPSR yang sepatutnya diduduki pada Khamis lalu ditunda berikutan berlaku kebocoran kertas peperiksaan tersebut.

Keesokan harinya, peperiksaan mata pelajaran Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 yang telah diduduki pelajar pula dibatalkan ekoran masalah yang sama.

Keadaan itu memaksa LPM menetapkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Susulan kejadian tersebut, kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM, Dr. Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi LPM, Dr. Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri, Osmain Hussain mengesahkan negeri itu terlibat dalam siasatan polis dalam kes kebocoran kertas soalan UPSR.

Namun, beliau enggan mengulas perkara itu atas nasihat pihak polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140915/dn_03/UPSR-Empat-guru-ditahan#ixzz3DYGtysdA  © Utusan Melayu (M) Bhd 




No comments: