Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Friday 26 September 2014

POLITIK : Exco: Sultan tidak perkenan?

Oleh ZABRY MOHAMAD dan ZULKIFLI SAINUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM 25 Sept. - Senarai calon barisan Exco kerajaan negeri yang dipersembahkan oleh Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini, dipercayai belum mendapat perkenan daripada baginda.

Ini kerana sehingga malam ini, perbincangan di antara ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikatakan masih berjalan berhubung pelantikan barisan Exco kerajaan negeri yang baharu itu.

Malah Mohamed Azmin dalam akaun Twitter miliknya turut mengakui laporan media berhubung pembahagian komposisi barisan Exco kerajaan negeri iaitu 4-3-3 adalah tidak tepat.

"Laporan media mengenai pengagihan kuota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah tidak tepat kerana proses rundingan masih berjalan," katanya dalam akaun Twitter lewat petang ini.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi mengesahkan pihak istana belum memuktamadkan senarai calon Exco kerajaan negeri yang dikemukakan oleh Mohamed Azmin.

Menurutnya, perkara itu mungkin hanya dapat diselesaikan pagi esok sebelum majlis angkat sumpah Exco kerajaan negeri dijadual pada sebelah petang.

Mohamed Azmin hari ini menghadap Sultan Sharafuddin pada pukul 3 petang bagi mendapat perkenan baginda berhubung senarai calon Exco kerajaan negeri yang baharu di Istana Mestika di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu telah mempersembahkan 10 nama untuk dipertimbangkan dan diperkenankan oleh baginda sebagai Exco kerajaan negeri.

Sebaik sahaja keluar dari pekarangan istana tersebut, beliau memaklumkan kepada pihak media bahawa komposisi 4-3-3 barisan Exco kerajaan negeri sebelum ini iaitu empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, tiga ADUN PKR dan tiga lagi daripada DAP akan dikekalkan.

Bagaimanapun, kira-kira empat jam kemudian, beliau menyatakan dalam Twitter bahawa laporan media berhubung pengagihan kuota Exco terbabit adalah tidak tepat.

Mohamed Azmin dikatakan berdepan dilema untuk melantik barisan Exco kerajaan negeri ekoran wujud suara-suara daripada pemimpin PKR sendiri supaya kerusi Exco Pas dikurangkan sebagai hukuman kepada tindakan bekas empat Exco parti Islam itu sebelum ini yang menyokong bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

DAP sendiri menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng secara terang-terangan turut melabelkan empat Exco Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Halimah Ali, Dr. Ahmad Yunus Hairi dan Sallehen Mukhyi yang menyokong Abdul Khalid sebelum ini sebagai pengkhianat kerana mengingkari prinsip solidariti dan demokrasi dalam pakatan pembangkang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140926/po_04/Exco-Sultan-tidak-perkenan#ixzz3ENtd8ekV  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: