Ooi Tze Liang (kanan) memeluk Chew Yi Wei apabila mengetahui mereka memenangi pingat gangsa selepas menamatkan lompatan terakhir dalam acara terjun 10m platform seirama lelaki di Pusat Akuatik Munhak Park Taek-Hwan, Incheon semalam. - UTUSAN
INCHEON - Selepas pulang tangan kosong pada Sukan SEA 2013 dan Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu, Chew Yi Wei puas kerana akhirnya menebus kegagalan dengan meraih pingat gangsa Sukan Asia dalam acara terjun 10 meter platform seirama lelaki bersama Ooi Tze Liang semalam.
Penerjun berusia 18 tahun itu memastikan dia tidak terlepas pingat sekali lagi dalam penampilan ketiganya di temasya besar apabila aksi baik pada dua terjunan terakhir membolehkan dia dan Tze Liang mengumpul 384.90 mata untuk menaiki podium di Pusat Akuatik Munhak Park Tae-Hwan.
Biarpun menampilkan dua muka baharu, gergasi terjun dunia China masih mampu mempertahankan emas menerusi gandingan Zhang Yangquan-Chen Aisen yang mengumpul 462.90 mata selepas enam terjunan, jauh meninggalkan pemenang pingat perak dari Korea Selatan, Kim Yeong-Nam-Woo Ha-Ram dengan 403.50 mata.
Ini adalah pingat perak kedua buat Tze Liang selepas melakukannya bersama Bryan Nickson Lomas dalam acara yang sama di Guangzhou empat tahun lalu.
Kemenangan ini juga menebus kekecewaan Tze Liang-Yi Wei selepas tidak dihadiahkan gangsa pada Sukan Komanwel bulan lalu walaupun menamatkan cabaran di tangga ketiga kerana saingan ketika itu hanya disertai oleh empat penerjun.
"Kebimbangan gagal meraih pingat buat kali ketiga bermain di fikiran saya ketika saya dan Tze Liang sedang bersedia untuk melakukan terjunan keempat.
"Kami gagal memenangi emas pada Sukan SEA di Myanmar kerana melakukan kesilapan pada terjunan keempat walaupun sudah mendahului saingan sejak awal. Saya melalui dua temasya yang mengecewakan.
"Saya tidak sanggup berdepan kekecewaan sekali lagi selepas lama berlatih dan bekerja keras untuk persiapan ke Sukan Asia. Memang saya akui, agak tertekan ketika tiba di sini.
"Bagaimanapun saya gembira dapat mengeluarkan semua yang saya pelajari ketika latihan dengan begitu baik hari ini," kata Yi Wei, yang kembali menyertai skuad kebangsaan selepas meraih dua pingat emas pada Sukan Malaysia di Kuantan dua tahun lalu.
Menurutnya lagi, dia hanya diberitahu oleh jurulatih untuk bergandingan dengan Tze Liang pada saat akhir kerana sejak awal lagi nama Ahmad Amsyar disebut-sebut untuk beraksi dalam saingan 10m platform seirama. - UTUSAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140930/su_04/Yi-Wei-puas-akhir-raih-pingat#ixzz3ElG6o100 © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment