Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday 8 September 2014

POLITIK : Alasan Hadi tolak Wan Azizah

Oleh radhuan hussain
pengarang@utusan.com.my

Abdul Hadi Awang (kanan) bersalaman dengan para peserta Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Masjid Jamek Tok Jiring Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. - MINGGUAN/Shaifudin Mohd. Nor

 
TERENGGANU 6 Sept. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mempertahankan keputusan Majlis Syura Ulama, badan tertinggi parti itu yang turut menamakan wakil Pas sebagai calon Menteri Besar Selangor meskipun tidak disenangi oleh sebahagian kelompok dalam kepimpinan parti itu.

Tegasnya, sebarang keputusan berkaitan soal seumpama itu sebenarnya turut tertakluk kepada kuasa dan budi bicara beliau sendiri selaku presiden parti.

Menurut Abdul Hadi, perkara itu menjadi tradisi parti berkenaan yang diamalkan oleh pucuk pimpinan Pas terdahulu sejak 1959 sehingga sekarang.

Jelasnya, tidak terkecuali Barisan Nasional (BN) turut berbuat demikian menerusi perbincangan antara presiden parti dengan para pemimpin terutama melibatkan pemimpin di negeri yang berkenaan sebelum membuat keputusan.

"Itu amalan parti (Pas) sejak 1959, saya (Presiden Pas) ikut tahun 1959, seterusnya 1964, 1969, 1974, 1982 dan 1990. Kita perintah Kelantan di mana pelantikan MB (Menteri Besar) diserahkan kepada presiden parti (Pas).

"BN juga begitu, budi bicara presiden parti dan beberapa pimpinan yang dibincangkan khususnya berkaitan negeri yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Syariah Islam di Masjid Jamek Tok Jiring di Kompleks Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman, dekat sini hari ini.

Abdul Hadi diminta mengulas kenyataan timbalannya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang mempersoalkan keputusan Majlis Syura Ulama mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu sebagai salah seorang daripada tiga calon Menteri Besar Selangor.

Menurut Mat Sabu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tidak tahu mengenai perkara itu kerana tidak diputuskan dalam mesyuarat badan yang mengendalikan urusan pentadbiran dan strategi parti berkenaan.

Pendirian Majlis Syura Ulama dan Abdul Hadi itu difahamkan atas alasan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak mempunyai keupayaan untuk memikul tanggung jawab berat itu dan penyerahan tiga nama kepada pihak istana adalah bagi memenuhi titah Sultan Selangor.

Ditanya langkah Pas untuk menangani masalah percanggahan pendapat berhubung perkara itu dalam parti sendiri, Abdul Hadi berkata, hal itu perlu kembali dirujuk kepada Perlembagaan parti.

Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) akan menjurus kepada penubuhan sebuah parti politik yang dikatakan akan menyebabkan Pas berpecah dua (antara kumpulan ulama dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim), beliau berkata, itu terserah kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Ini amalan negara demokrasi, terpulang kepada Pendaftaran Pertubuhan sama ada nak terima atau tidak. Itu biasalah dalam negara demokrasi ini, ada parti-parti politik," ujarnya.

Ditanya kemungkinan Pasma akan menyamai penubuhan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) pada 1977 ekoran krisis politik Pas di Kelantan, beliau menjawab: "Dulu Berjasa ditaja oleh BN, ini saya tak tahu lagi sama ada (Pasma) ditaja BN."

Abdul Hadi turut yakin penubuhan Pasma tidak akan menggugat Pas kerana parti yang diterajuinya itu mempunyai kekuatan akar umbi di seluruh negara.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140907/po_01/Alasan-Hadi-tolak-Wan-Azizah#ixzz3Cgzosdjm  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: