Daisypath Anniversary tickers

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58
SALAM KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 58

Monday, 8 September 2014

Pendakwaan terpilih ditangani

Oleh luqman haziq
pengarang@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN

PAGOH 6 Sept. - Kerajaan sedang berusaha menangani persepsi dan dakwaan ramai bahawa pihak berkuasa melakukan tindakan dan pendakwaan secara terpilih terutama terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan melampau berkaitan isu sensitif seperti soal kaum dan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar serta pihak-pihak yang bertanggungjawab menangani kes-kes sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri mengakui persepsi sedemikian memang wujud dalam kalangan masyarakat yang beranggapan pihak berkuasa membuat tindakan secara terpilih.

"(Mereka beranggapan) seolah-olah pihak berkuasa bertindak secara memilih, memilih bulu. Kalau orang ini cepat, kalau orang itu lambat, ini yang berlaku. bukannya kerana apa, tapi persepsi ini timbul berdasarkan apa yang mereka lihat," katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab beberapa isu yang dibangkitkan beberapa perwakilan termasuk tentang dakwaan bahawa pihak berkuasa 'pilih bulu' dalam mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan sensitif termasuk mengenai isu kaum, agama dan institusi raja di negara ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, dalam pertemuan dengan pihak yang berkenaan, penjelasan telah diberikan bahawa untuk sebarang tindakan boleh diambil, pihak berkuasa yang menyiasat perlu mendapat bukti yang sahih.

"(Contohnya) orang bukan Melayu menyentuh sensitiviti orang Melayu baik agamanya, budayanya, rajanya dan sebagainya, maka laporan-laporan telah dibuat kepada pihak polis...sampai berpuluh-puluh laporan. Orang bertanya apa jadi dengan laporan itu sedangkan kalau ada hal yang dilakukan oleh orang Melayu kepada bukan Melayu, tindakan cepat diambil, seolah-olah begitulah halnya.

"(Bukti yang diperoleh perlu) melampaui keraguan munasabah. Bahawa memang sabit kes itu dilakukan oleh pihak ini dan ada akta yang telah dilanggari oleh mereka dan tindakan itu boleh diambil oleh pihak berkuasa. Soal yang dianggap sebagai tanggapan dan persepsi sebagai pendakwaan terpilih itu memang ada dan kita cuba tanganinya," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh dan Ahli Parlimen Pagoh.

Yang turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Timbalan Ketua UMNO bahagian, Ismail Mohamed; Ketua Wanita UMNO bahagian, Senator Datuk Noriah Mahat; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zaid Abd. Rahman dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Rohaizah Ahmad.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, kerajaan juga akan membina sebuah litar lumba kereta di Pagoh yang dianggarkan menelan kos antara RM10 dan RM15 juta.

Katanya, tender projek tersebut telah dikeluarkan dan pembinaan dijangka mengambil masa dua tahun.

Beliau berkata, kerajaan juga akan membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan Parlimen Pagoh termasuk menarik lebih banyak universiti tempatan dan antarabangsa membuka cawangan di Hab Pendidikan Pagoh yang diwujudkan di sini.

Katanya, pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan untuk memberi keselesaan kepada masyarakat setempat termasuk pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140907/dn_05/Pendakwaan-terpilih-ditangani#ixzz3CgxDHwwA  © Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: