David Silva (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika membantu Sepanyol membenam Macedonia 5-1 kelayakan Euro 2016 di Valencia, semalam. - AFP
VALENCIA, Sepanyol - Jaringan Paco Alcacer dalam perlawanan kompetitif antarabangsa pertamanya bersama Sepanyol membantu juara Eropah itu bangkit daripada kegagalan mempertahankan Piala Dunia di Brazil dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Macedonia dalam kempen kelayakan Euro 2016 semalam.
Sepanyol terlebih dahulu berada di depan menerusi sepakan penalti Sergio Ramos, sebelum mendahului 2-0 setelah Alcacer menyumbat gol kedua pada awal perlawanan di Valencia.
Namun begitu, Agim Ibraimi membawa Macedonia kembali bersaing apabila turut menyempurnakan sepakan penalti untuk kedudukan 2-1.
Perlawanan itu tidak diragui menjadi milik mutlak Sepanyol setelah Sergio Busquets meledakkan gol ketiga pada masa tambahan babak pertama, sebelum David Silva dan Pedro Rodriguez menambah dua gol lagi pada separuh masa kedua.
"Kami memulakan pertandingan dengan memungut tiga mata penuh dan persembahan amat bagus sekali. Itu yang paling penting.
"Kami telah memulakan era baharu dan mudah-mudahan akan mendapat lebih banyak hasil," kata jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque.
Walaupun menerima desakan agar perubahan secara radikal dilakukan ke atas skuad La Roja setelah tersingkir awal di Brazil, Del Bosque tetap menamakan 10 pemain daripada skuad Piala Dunia dalam kesebelasan utamanya dengan Alcacer satu-satunya wajah baharu dalam pasukan tersebut.
Keputusan jurulatih itu mengekalkan kapten Iker Casillas turut dibalas dengan aksi cemerlang ketika permainan baru masuk minit kelima apabila penjaga gol Real Madrid itu menyelamatkan sepakan bebas Ibraimi.
Sepanyol, selepas itu kelihatan berkeyakinan tinggi untuk melakar kemenangan apabila meledakkan dua gol dalam tempoh 60 saat dengan Ramos menyempurnakan sepakan penalti setelah Silva dijatuhkan.
Alcacer menjadikan penampilan sulungnya cukup sempurna di laman sendiri apabila menguis bola ke gawang pelawat setelah menerima umpanan kemas Juanfran.
Bagaimanapun, bek kanan Atletico Madrid, Juanfran gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik 10 minit selepas itu apabila dia melakukan kekasaran ke atas Aleksandar Trajkovski dalam kawasan penalti yang sekali gus membuka laluan kepada Ibraimi merapatkan jurang defisit gol.
Namun, pasukan pelawat gagal menambah bilangan gol, dengan Sepanyol menguasai permainan dan berpeluang melakar kemenangan dengan jumlah jaringan yang lebih besar, tetapi kapten Tomislav Pacovski berjaya mengawal gawangnya dengan baik. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140910/sl_03/Sepanyol-benam-Macedonia#ixzz3CsAo3BuA © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment