PENYERANG Perancis, Karim Benzema (kiri) meraikan jaringannya bersama Patrice Evra dalam perlawanan persahabatan menentang Jamaica di Lille semalam. Perancis menang 8-0. - AFP
LILLE, Perancis - Karim Benzema menjaringkan dua gol ketika Perancis menewaskan Jamaica 8-0, sekaligus mengubat kedukaan mereka akibat kehilangan penyerang sensasi, Franck Ribery pada kejohanan Piala Dunia kali ini.
Blaise Matuidi dan Antoine Griezmann juga meledak dua gol dalam aksi pemanas badan terakhir di hadapan 49,000 penyokong di Lille.
Keputusan itu menjadi pembakar semangat kepada pasukan Didier Deschamps menjelang Piala Dunia yang akan mula membuka tirainya dalam tempoh dua hari lagi setelah Ribery terpaksa diketepikan akibat kecederaan belakang badan.
"Ribery adalah suatu kehilangan tetapi kami perlu berhenti bercakap mengenainya dan teruskan bersaing tanpanya," kata pemain Paris St. Germain, Matuidi yang menjaringkan gol pertamanya bersama Perancis.
Deschamps menegaskan Perancis kekal bersatu meskipun tanpa kelibat bintang Bayern Munich, Ribery.
"Kami ada barisan pemain berkelas dunia. Pasukan Perancis lebih kuat dengan kehadirannya ketika dia berada pada tahap 100 peratus tetapi masih ramai lagi pemain hebat.
"Kemenangan adalah sesuatu yang sangat kami perlukan sebelum berangkat (ke Brazil). Ia memberikan keyakinan. Semua orang gembira. Kami mempamerkan banyak perkara hebat," kata bintang Real Madrid, Benzema.
Jaringan pertama Benzema merupakan sepakan lencong dari hujung kotak penalti manakala jaringan keduanya adalah dari hujung kotak penalti yang berjaya melepasi jangkauan penjaga gol Jamaica, Jacomeno Barrett.
Matuidi dan Olivier Giroud juga menjaringkan gol selepas beberapa percubaan Benzema terkena palang.
Griezmann, yang merupakan pencabar Giroud untuk posisi Ribery, dimasukkan pada babak kedua sebagai pemain gantian dan menjaringkan dua gol dalam tempoh 12 minit.
Yohan Cabaye membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 dan kemenangan itu melebarkan rekod Perancis kepada lima perlawanan tanpa kalah.
Deschamps menyifatkan perlawanan itu sebagai medan terakhir untuk menguji Benzema dengan watak yang lebih besar selain gandingannya bersama Giroud di posisi Ribery.
"Saya mahu melihat mereka bersama semula tetapi bukan sahaja mereka," katanya yang menyifatkan kedua-dua pemain itu berada pada tahap fizikal terbaik.
Giroud pula merasakan dia adalah pilihan pertama untuk bergandingan bersama Benzema dalam kempen di Brazil.
"Saya akan beraksi untuk Piala Dunia pertama saya dan ia di Brazil. Saya seperti kanak-kanak yang mendapat hadiah semasa Hari Krismas," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment