PENYERANG Brazil, Fred (depan) meminta sepakan penalti, mendakwa dijatuhkan oleh pertahanan Croatia, Dejan Lovren (kanan) dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Corinthians, Sao Paulo semalam. - AFP
SAO PAOLO - Bengang dengan kekalahan 3-1 menentang Brazil pada perlawanan pembukaan semalam, penyerang Croatia, Dejan Lovren menyifatkan penalti yang dikenakan terhadapnya sebagai satu skandal dalam Piala Dunia 2014.
Croatia, pasukan bukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia kali ini, telah mendahului apabila Marcelo menjaringkan gol ke gawang sendiri sebelum Neymar menyamakan kedudukan di depan penyokong Brazil di Stadium Corinthians.
Bagaimanapun pasukan Eropah itu bermain dengan bagus sehinggalah pengadil, Yuichi Nishamura menunjukkan ke arah titik penalti selepas Fred berundur ke arah Lovren dan tumbang.
"Saya berpendapat pengadil ini (Nishimura) tidak layak untuk berada di sini. Saya tidak pasti atas sebab apa yang melayakkannya berada di sini. Situasi ini amat mengecewakan tetapi apa yang boleh awak buat apabila menentang 12 pemain? Awak tidak boleh berbuat apa-apa," kata penyerang Southampton itu.
Lovren juga berpendapat tindakan Nishimura menghadiahkan sepakan penalti kepada Brazil adalah tindakan berat sebelah dan sangat mendukacitakan.
"Saya kecewa, kerana kami bermain dengan baik dan pengadil - itu bukan satu kesilapan, itu satu skandal. Itu adalah skandal untuk semua, skandal untuk FIFA. Saya fikir pengadil ini tidak seharusnya berada di sini," tambahnya.
Jurulatih pasukan Croatia, Niko Kovac berkata, pengadil bertindak di luar kewarasan namun jurulatih pasukan tuan rumah, Luiz Felipe Scolari mengatakan Nishimura bertindak betul dengan memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Neymar untuk menjadikan kedudukan 2-1.
"Jika sesiapa menyokong penalti diberikan, sila angkat tangan. Saya tidak boleh menyokong," kata Kovac.
Kovac berkata, dia merasakan pasukannya sekurang-kurangnya wajar mendapat satu mata, dan memuji pemain-pemainnya atas prestasi mereka di hadapan penyokong fanatik tuan rumah.
Katanya, dia tidak menyalahkan Fred kerana tumbang, walaupun dia mempersoalkan mengapa pemain itu begitu mudah terlantar di padang.
Scolari pula berkata pengadil betul apabila memberikan sepakan penalti.
"Bagi saya, itu adalah penalti. Saya melihatnya sebanyak 10 kali dan saya fikir itu adalah penalti," katanya.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, (FIFA), Sepp Blatter kelmarin telah mencadangkan agar pengurus-pengurus pasukan diberikan dua peluang membantah dalam setiap perlawanan apabila mereka boleh memeriksa keputusan penting pengadilan menerusi rakaman video.
Cadangan itu, yang dibuat pada majlis penutup kongres FIFA, akan mengikuti sistem yang digunakan dalam tenis, kriket dan badminton, seiring dengan pengenalan teknologi garisan gol dalam kejohanan ini. - AFP
No comments:
Post a Comment